oleh: Maznah Othman
Tanjong Malim, 13 Disember 2024 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Tech Titan Distribution Sdn. Bhd. untuk pelaksanaan Program Antivirus 365 UPSI Student Campaign.
Program kerjasama promosi ini melibatkan pelantikan UPSI sebagai rakan strategik untuk memasarkan produk Kaspersky Anti-Virus Standard kepada pelajar selama satu (1) tahun bermula 13 Disember 2024.
Majlis yang berlangsung di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI itu dihadiri oleh Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Digital (CDO), Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Pusat ICT) UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad. Manakala Tech Titan Distribution Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengurus Besar, Puan June Lee.

Dalam ucapannya, Encik Helmi Zaifura menyatakan bahawa kerjasama ini selaras dengan visi UPSI untuk memacu kecemerlangan akademik dan teknologi, sambil memupuk budaya celik siber di kalangan warganya.
MoA tersebut ditandatangani oleh CDO Pusat ICT UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad, yang menyatakan bahawa kerjasama ini amat penting untuk memastikan keselamatan data warga universiti sentiasa terkawal bagi mengelakkan sebarang ancaman keselamatan.
“Ia juga memberi penekanan kepada perlunya langkah proaktif dalam melindungi data serta memahami kepentingan keselamatan siber sebagai keutamaan utama.”
Puan June Lee, pula menekankan bahawa syarikat tersebut berbangga dapat menjalin hubungan strategik dengan institusi pendidikan ternama seperti UPSI.
“Kerjasama ini bukan sahaja membolehkan kami memanfaatkan ekosistem universiti untuk memperluaskan akses kepada produk Kaspersky, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk melindungi data peribadi mereka dengan lebih baik,” katanya.

Melalui perjanjian ini, UPSI akan menawarkan produk Kaspersky Anti-Virus Standard kepada pelajar pada harga istimewa sepanjang tempoh kerjasama selama satu (1) tahun bermula 13 Disember 2024.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh sinergi antara sektor pendidikan tinggi dan industri demi manfaat bersama yang lebih besar.
