Oleh: Nur Ain Syuhada’ Mohd Sargawi dan Cik Ummikalsum Mat Lazim
Bagan Datuk, 6 Disember 2024– Program ‘Al Quran Revolution: Menjadi Hafiz Hebat Mengubah Dunia’ yang dijalankan oleh mahasiswa tahfiz UPSI terdiri daripada 25 orang pimpinan Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI bertempat di MRSM Bagan Datuk. Program ini melibatkan hampir 500 orang pelajar daripada MRSM tersebut.
Tujuan utama program ini adalah untuk memperkenalkan dan menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran di kalangan pelajar muda, serta memberi pendedahan lebih mendalam mengenai pentingnya penghayatan dan pemahaman Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Melalui program ini, mahasiswa UPSI berpeluang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang tahfiz dan qiraat, sambil mengeratkan hubungan dengan masyarakat pelajar di MRSM Bagan Datuk.
Program Al-Quran Revolution ini merangkumi pelbagai aktiviti, termasuk sesi energizer, perkongsian tentang “Kekuatan al-Quran dalam kehidupan” oleh Ustaz Ah-Luqman Al-Hakim Che Zahari, sesi LDK iaitu “Tadabbur al-Quran mengikut tematik”.
Antara tema yang menjadi perbincangan adalah berkaitan Adab & Akhlak, Qasas Quraniy dan STEM.
Setiap kumpulan akan dipandu oleh seorang fasilitator daripada Persatuan Tahfiz Qiraat. Mereka dikehendaki untuk membuat satu inovasi mengikut kreativiti masing-masing dan mengikut tema yang telah diberikan serta sesi interaktif yang melibatkan perkongsian pengalaman antara mahasiswa UPSI dan pelajar MRSM Bagan Datuk.

Penceramah program Ustaz Ah-Luqman Al-Hakim berkata, al Quran ini merupakan sahabat dunia dan akhirat kita, maka jadikanlah al-Quran ini sebagai peneman kehidupan seharian kita.

Setelah selesai sesi LDK, program diteruskan dengan aktiviti Gallery Walk.
Setiap kumpulan mempunyai 3-4 orang pembentang manakala rakan-rakan yang lain akan bergerak ke kumpulan lain untuk melihat pembentangan daripada rakan-rakan mereka.
Gallery walk ini merupakan hasil usaha mereka dalam menyiapkan inovasi dan pembentangan dalam masa kurang dari 1 jam.

Pengarah program Al Quran Revolution iaitu saudari Ain Syuhada’ berkata, program ini adalah satu pengalaman yang sangat bermakna kerana kami dapat berkongsi ilmu dan menginspirasi pelajar-pelajar untuk lebih mencintai Al-Quran.
“Pelajar-pelajar ini sangat aktif dan memberikan komitmen yang tinggi sepanjang sesi program dan memberikan yang terbaik semasa sesi pembentangan”.

Sementara itu, pelajar-pelajar MRSM Bagan Datuk juga menyambut baik program ini. Seorang peserta, Nur Aisyah, berkata, program ini sangat memberi manfaat kepada kami, terutama dalam memahami Al-Quran dengan lebih baik.
“Kami merasa lebih dekat dengan Al-Quran selepas sesi pengajaran dan perkongsian yang diadakan”.

Pihak penganjur berharap agar program Al-Quran Revolution ini dapat memberi kesan yang berkekalan kepada para pelajar MRSM Bagan Datuk dan turut memberi inspirasi kepada lebih banyak sekolah dan institusi lain untuk menganjurkan program serupa.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan mereka, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mendekatkan masyarakat muda dengan ajaran Al-Quran yang penuh hikmah.
Dengan berakhirnya program ini, semua yang terlibat berharap agar ia dapat diteruskan pada masa hadapan, bagi memberi lebih banyak manfaat kepada generasi akan datang dan memperkukuhkan lagi penghayatan ilmu Al-Quran dalam kehidupan mereka.
