Oleh: Theresa Herrison dan Syrelyn Misol
Tanjong Malim, 14 Disember 2024 – Hujung minggu adalah detik terbaik untuk penghuni merehatkan minda, meleraikan tekanan tugasan, dan menikmati kebebasan daripada rutin harian.
Masa ini menjadi peluang emas untuk mengisi semula tenaga, mencari ketenangan, dan menikmati kehidupan di luar kepompong akademik.
Melalui Program KUO Go Clean, Get Fit yang dianjurkan oleh Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, program ini memberi peluang kepada penghuni untuk melibatkan diri dan meningkatkan perpaduan antara penghuni yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama warga kolej serta meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental.
Program KUO Go Clean, Get Fit! ini berlangsung dari pagi hingga malam. Antara pengisian menarik adalah pertandingan futsal, pertandingan badminton, pertandingan sukan tradisional (SUTRA) iaitu baling selipar dan boling tin, pertandingan rumah terbersih, dan menonton tayangan filem pada waktu malam.

Aktiviti jualan yang dikendalikan oleh Exco Penginapan dan Kemasyarakatan sendiri memberi impak besar dalam penglibatan penghuni KUO untuk turut hadir memeriahkan suasana program ini.
Jadi, ia merupakan satu perkara yang menarik dalam mempelbagaikan konsep dalam sesebuah program untuk mencari kelainan.


Selain itu, aktiviti seperti ini memberi ruang kepada penghuni kolej untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat dan membina hubungan yang lebih mesra.
Selain antara penghuni dengan penghuni, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara penghuni dengan felo-felo dan pentadbiran kolej.
Aktiviti yang dijalankan ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu budaya yang mendalamkan lagi semangat kekitaan dan kerjasama di kalangan semua penghuni kolej.
Felo Blok 2, Puan Siti Norhuda Md Ali berkata, “Program KUO Go Clean, Get Fit! ini merupakan program yang menarik dijalankan kerana melalui kepelbagaian aktiviti yang diadakan, bukan sahaja memberi peluang kepada penghuni untuk menyertai aktiviti ini, malah dapat mengasah bakat penghuni Kolej Ungku Omar untuk menonjolkan diri.

Semoga program ini akan sentiasa diteruskan kerana memberi impak yang positif kepada warga Kolej Ungku Omar.”
“Saya amat gembira program ini dijalankan kerana melalui program ini saya dapat meluangkan masa yang terluang dengan bermanfaat. Harapan saya semoga program ini diteruskan pada setiap semester,” kata Sherry Helter, seorang penghuni Kolej Ungku Omar.

Program yang dijalankan ini bukan sekadar tentang kebersihan dan kecergasan, tetapi juga mengukuhkan kebersamaan penghuni Kolej Ungku Omar.

Walaupun dalam kepenatan, mereka tetap gembira meluangkan masa bersama. Masa susah dikejar, tetapi kenangan ini akan sentiasa dikenang.
