Oleh: Dr. Abdul Mu’Iz Nor Azmi
Putrajaya, 1 November 2024 – Sebuah program pemindahan ilmu bertajuk “Asas Suai Fizikal dan Biomekanik untuk Jurulatih dan Atlet Sukan Silat” berjaya dianjurkan oleh sekumpulan pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini berlangsung beberapa siri selama tiga bulan, dari September hingga November 2024, bertempat di Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia Cawangan Bangi dan Mercure Hotel, Putrajaya.
Program yang dibiayai melalui geran Knowledge Transfer Program (KTP) ini bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan jurulatih dan atlet Silat tentang pentingnya aspek suai fizikal dan biomekanik dalam prestasi sukan.
Dr. Abdul Mu’iz Nor Azmi selaku ketua program, bersama pasukan yang terdiri daripada Dr. Noorzaliza Osman, Prof Madya Dr. Ali Md Nazalan, dan Cik Nor Fazila Abd Malek dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti yang melibatkan sesi ceramah, bengkel, serta aplikasi praktikal.
Menurut Dr. Abdul Mu’iz, program ini dirancang untuk memberikan pendedahan mendalam kepada peserta mengenai prinsip biomekanik dan kaedah suai fizikal terkini yang sangat penting bagi meningkatkan prestasi atlet Silat, di samping meminimumkan risiko kecederaan.
Peserta program bukan sahaja memperoleh manfaat teori dan praktikal, tetapi turut berpeluang berkongsi pengalaman mereka di Persidangan Sukan Tempur Dunia yang diadakan di Hotel Mercure, Putrajaya.
Acara ini menarik perhatian ramai penyelidik dan penggiat sukan tempur, sekali gus membuka mata pelbagai pihak terhadap kemajuan penyelidikan sukan tempur di UPSI.
Salah seorang peserta, Encik Azlan Hamid, yang juga jurulatih silat, menyatakan, ilmu yang diperoleh dalam program ini sangat berguna, terutama dalam melatih atlet dengan teknik yang lebih efektif dan selamat.
“Bengkel ini sangat memberi inspirasi kepada saya untuk mempraktikkan apa yang dipelajari.”


Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti sukan tempur, tetapi juga menunjukkan komitmen UPSI dalam menyumbang kepada pembangunan sukan negara melalui perkongsian ilmu yang bermakna.
UPSI berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memperkukuh pembangunan sukan tempur, khususnya Silat, di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
*Jutaan terima kasih kepada pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI atas dana yang telah diberikan untuk menjayakan program ini (Geran KTP, Kod: 2024-0061-PP-02).
