Oleh: Puan Noor Aiwa Rosman
TAIPING, 30 Disember 2024 – Sebuah program pemindahan ilmu berjaya dilaksanakan di Kompleks Rakan Muda Taiping, diketuai oleh Pn. Noor Aiwa Rosman, bersama pasukan penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada Dr. Noorzaliza Osman, Prof Madya Dr. Ali Md Nazalan, dan Cik Nor Fazila binti Abd Malek.
Program ini berlangsung selama tiga bulan, bermula Oktober hingga Disember 2024 dan dibiayai melalui geran Knowledge Transfer Program (KTP).
Fokus utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada jurulatih wanita tentang penggunaan teknologi wearable resistance dalam latihan sukan.
Teknologi ini, yang berasaskan penemuan sains sukan terkini, membolehkan latihan dirancang secara lebih efektif, menjimatkan masa, dan meningkatkan kualiti sesi latihan.
Menurut Pn. Noor Aiwa, penggunaan wearable resistance bukan sahaja mempermudah pengorganisasian latihan, tetapi juga membantu jurulatih memahami bagaimana teknologi ini boleh meningkatkan prestasi atlet secara signifikan.
“Program ini juga memberi ruang kepada jurulatih untuk meneroka kaedah baru dalam sukan raket.”


Para peserta, yang terdiri daripada jurulatih sukan wanita, mengakui bahawa program ini memberi manfaat besar kepada mereka, khususnya dalam memahami asas kaedah latihan berteraskan sains sukan.
Selain itu, pengorganisasian latihan yang lebih tersusun melalui teknologi ini membantu mereka dalam mematangkan kaedah kejurulatihan masing-masing.
Seorang peserta, Puan Sharifah Nadia, menyatakan, program ini memberi perspektif baru kepada saya tentang bagaimana teknologi seperti wearable resistance dapat diterapkan dalam latihan harian.
“Ini bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi atlet, tetapi juga menjimatkan masa dengan hasil yang lebih baik.”

Program ini mencerminkan usaha UPSI dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi dan negeri melalui perkongsian ilmu dan teknologi terkini.
Dengan kejayaan program ini, UPSI berharap dapat terus memimpin inisiatif seumpama ini untuk memperkasa komuniti sukan negara.
Program ini adalah satu lagi bukti bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti sukan mampu membawa impak besar kepada pembangunan sukan negara, terutamanya dalam memperkukuh potensi atlet wanita di Malaysia.
*Jutaan terima kasih kepada pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI atas dana yang telah diberikan untuk menjayakan program ini (Geran KTP, Kod: 2024-0115-PP-02).
