Oleh: PM Dr. Zulakbal bin Abdul Karim

TANJUNG RAMBUTAN, 29 Disember 2024 – Sebuah program bertajuk “Asas Small-Sided Games: Pemindahan Ilmu dari Universiti kepada Pemain Bola Sepak Akar Umbi Negeri Perak” berjaya dianjurkan oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini berlangsung selama tiga bulan, bermula Oktober hingga Disember 2024, di Padang Awam Tanjung Rambutan.

Program ini dilaksanakan melalui Geran Knowledge Transfer Program (KTP) dan diketuai oleh Prof Madya Dr. Zulakbal bin Abdul Karim. Turut terlibat ialah Dr. Noorzaliza binti Osman, Prof Madya Dr. Ali bin Md Nazalan, dan Dr. Abdul Mu’iz bin Nor Azmi, yang bersama-sama menyumbang kepakaran mereka dalam sains sukan dan kejurulatihan.

Fokus utama program ini adalah memperkenalkan pendekatan latihan small-sided games kepada pemain bola sepak akar umbi di Negeri Perak. Pendekatan ini menggunakan permainan berskala kecil untuk meningkatkan kemahiran teknikal, taktikal, serta kecergasan pemain dalam persekitaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.

Menurut Prof Madya Dr. Zulakbal, “Small-sided games merupakan kaedah latihan yang terbukti berkesan dalam membentuk pemain muda dengan lebih cepat, kerana ia menggabungkan elemen permainan sebenar dengan intensiti yang tinggi dalam ruang yang lebih kecil.”

Sepanjang program, para pemain bola sepak akar umbi berpeluang mempelajari teknik-teknik asas dan strategi permainan melalui pendekatan praktikal yang diterapkan oleh para pensyarah UPSI. Latihan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran pemain, tetapi juga memberi panduan kepada jurulatih dalam merangka sesi latihan yang lebih dinamik.

Encik Ikhmar Madarsa, seorang jurulatih bola sepak yang terlibat dalam program ini, menyatakan, program ini memberikan pendedahan baharu kepada kami tentang cara melatih pemain muda dengan kaedah yang lebih interaktif.

“Small-sided games membantu pemain mengasah kemahiran mereka dalam situasi permainan sebenar.”

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk merapatkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti sukan tempatan.

Dengan pendekatan ini, UPSI menunjukkan komitmen dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi, yang merupakan asas penting untuk melahirkan bakat baharu bagi mewakili negeri dan negara.

Keberkesanan program ini telah menarik perhatian ramai pihak, termasuk ibu bapa dan komuniti setempat, yang menyaksikan peningkatan ketara dalam prestasi dan keyakinan pemain muda.

UPSI berharap program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang, bukan sahaja untuk bola sepak tetapi juga untuk sukan-sukan lain, sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan sukan akar umbi di Malaysia.

*Jutaan terima kasih kepada pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI atas dana yang telah diberikan untuk menjayakan program ini (Geran KTP, Kod: 2024-0116-PP-02).