Oleh: Wan Muhammad Zikry Wan Zamri dan Nur Aida Fathonah Salabudi
Tanjung Malim, 31 Disember 2024 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2024/2025 telah menganjurkan program New Year Glow Run X PPI 2024 yang berlangsung di kawasan parkir solar Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Program ini mendapat penglibatan aktif daripada semua exco dan rakan exco di bawah PPI serta disertai oleh 250 orang peserta yang pelbagai latar belakang, termasuk masyarakat luar, staf UPSI, dan 60 orang ahli jawatankuasa program. Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Dr. Abu Zarrin Selamat sebagai perasmi program tersebut.

New Year Glow Run X PPI 2024 merupakan program terbuka kepada pelajar dan orang awam sebagai tanda solidariti terhadap isu semasa, khususnya berkenaan Palestin. Program ini bertujuan menanam semangat solidariti dalam kalangan peserta serta membina ukhuwwah Islamiah dan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin. Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran peserta mengenai isu global dan menyediakan platform untuk mendekatkan mereka kepada nilai-nilai kemanusiaan. Aktiviti ini turut mendorong peserta memulakan tahun baru dengan gaya hidup sihat seperti larian, sambil melakukan amal kebajikan.

Penganjuran program ini diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan menyokong isu Palestin serta menyuburkan rasa empati dan tanggungjawab terhadap masyarakat yang memerlukan. Program ini juga mampu menggalakkan perpaduan dan semangat melalui aktiviti yang bermanfaat serta berimpak positif.
Selain memberikan pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna, program ini bertujuan menyemai semangat kerjasama dan solidariti terhadap perjuangan rakyat tertindas. Peserta turut diberi peluang menyumbang kepada misi kemanusiaan, sekali gus membentuk rasa tanggungjawab sosial yang lebih tinggi. Program ini diharapkan dapat melahirkan individu yang peduli, berdaya saing, dan bersikap positif dalam menghadapi cabaran global. Semoga inisiatif kecil ini memberikan impak besar kepada masyarakat serta menyemarakkan semangat solidariti dan kesatuan umat Islam pada masa akan datang.
