Oleh: Bazli Razak
Tanjung Malim, 20 Januari 2025 – Program Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025 menyaksikan penyertaan aktif daripada seramai 115 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menunjukkan semangat tinggi dalam bidang pendidikan bahasa Tamil, sekali gus membuktikan komitmen mereka terhadap pembangunan dan inovasi dalam memperkasa bahasa tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, pertandingan seperti ini adalah penting dalam melahirkan lebih ramai inovator yang tidak hanya kreatif dalam bidang bahasa, tetapi juga mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
“Saya sangat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta. Ini adalah bukti bahawa kita, sebagai negara yang berbilang kaum, sentiasa berusaha untuk memelihara dan memperkasa bahasa-bahasa pelbagai etnik, terutamanya Bahasa Tamil yang kaya dengan sejarah dan budaya.

“Saya percaya, inisiatif ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak idea dan inovasi yang akan membantu memajukan bahasa Tamil, terutamanya dalam dunia pendidikan yang semakin global,” kata beliau.
Tambah beliau, sebagai sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian budaya, kita perlu terus memperkasa dan memberi pengiktirafan kepada bahasa-bahasa yang ada di Malaysia.
“Bahasa Tamil bukan sahaja penting sebagai bahasa komunikasi, tetapi ia juga mengandungi nilai sejarah yang mendalam.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Inovasi Bahasa Tamil di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI anjuran Persatuan Bahasa Tamil UPSI, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai program ini, beliau berkata program seperti ini bukan sahaja memelihara bahasa tersebut, tetapi juga memberi ruang kepada generasi muda untuk meneroka cara-cara baru bagi memperkenalkan dan mempopularkan bahasa Tamil di kalangan masyarakat dunia.
Tambah beliau lagi, pertandingan ini memberikan platform penting bagi para pelajar untuk mengasah kreativiti mereka dalam bidang inovasi dan teknologi.
“Saya percaya pertandingan ini bukan sahaja dapat menguji kemampuan para peserta dalam bidang inovasi pendidikan Bahasa Tamil, tetapi juga membina keyakinan diri mereka untuk melangkah lebih jauh dalam menyumbang kepada perkembangan bahasa dan budaya di negara ini.

“Sebagai contoh, melalui penggunaan teknologi moden, kita dapat melihat bagaimana bahasa Tamil boleh berkembang dengan cara yang lebih dinamik dan relevan dalam masyarakat hari ini.
“Pertandingan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan bakat dan kreativiti mereka, tetapi juga mencipta ruang untuk mereka menyumbang kepada warisan bahasa Tamil yang kaya,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin berkata, pertandingan inovasi pendidikan merupakan salah satu elemen penting dalam menangani cabaran global.
“Perubahan sosial, ekonomi, dan tenaga merupakan isu utama masa kini. Dengan menyemai kesedaran tentang kepentingan kreativiti dan inovasi, mahasiswa dapat mencipta penyelesaian baharu yang inovatif untuk mengatasi pelbagai masalah.
Beliau turut memaklumkan bahawa UPSI aktif menganjur dan menyertai program inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Tahun ini, UPSI akan menganjurkan International Edu@Innovate 2025 pada bulan Mei, dan baru-baru ini, mahasiswa kami telah berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan amalan inovasi di Universiti Malaysia Terengganu.
“Ini membuktikan keupayaan mahasiswa UPSI dalam menghasilkan karya yang berkualiti tinggi.

Profesor Dr. Norkhalid turut mengiktiraf usaha Persatuan Bahasa Tamil, yang menjadi badan pelajar pertama pada tahun 2025 menganjurkan pertandingan inovasi pendidikan.
“Program ini diharap menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk mengenal pasti potensi inovasi dalam bidang seni, budaya, dan teknologi, khususnya dalam penggunaan Bahasa Tamil,” kata beliau.
Hadir sama Dekan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI, Prof Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FBK UPSI, Dr. Mohd Amir Mohd Zahari; Ketua Program Bahasa Tamil, FBK UPSI, Prof Madya Dr. Kartheges Ponniah
