Kanak-kanak bergambar bersama guru di Edible Garden

Oleh: Dr. Intan Farahana Abdul Rani

TANJONG MALIM, 24 Januari 2025– Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam memberikan pendedahan kepada kanak-kanak bukan sahaja melalui aktiviti di dalam kelas tetapi juga di luar bilik darjah. Sejajar dengan usaha ini, Program Little Green Hands telah dianjurkan sebagai platform bagi kanak-kanak menyerlahkan minat dan kebolehan mereka dalam bidang penanaman serta memupuk hubungan yang lebih erat antara mereka dengan ibu bapa, pelajar praktikal dan pendidik.

Program yang berlangsung di Edible Garden ini melibatkan kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun dalam aktiviti berkaitan pertanian dan penjagaan alam sekitar. Setiap kumpulan umur diberikan slot masa tertentu bagi menjalankan aktiviti pembersihan kawasan dan penyemaian tanaman

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan keberanian dan keyakinan diri kanak-kanak dalam menyertai aktiviti luar, di samping mengasah kemahiran fizikal serta daya ketahanan mereka apabila berhadapan dengan persekitaran yang berbeza. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat bekerjasama dan sosialisasi antara setiap kelas serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kanak-kanak, ibu bapa, pendidik dan pelajar praktikal.

Menurut Timbalan Pengarah (Akademik dan Perkembangan Kanak-Kanak) NCDRC, Dr. Masayu Dzainudin penganjuran program seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih holistik. “Kami percaya bahawa pendidikan awal kanak-kanak bukan hanya tertumpu kepada aktiviti dalam kelas, tetapi juga perlu melibatkan pengalaman di luar bilik darjah. Dengan mendedahkan mereka kepada aktiviti seperti Program Little Green Hands, kita dapat membina keyakinan diri mereka, mengasah kemahiran sosial serta menyemai nilai kecintaan terhadap alam sekitar,” kata beliau.

Dengan penganjuran Program Little Green Hands, NCDRC berharap kanak-kanak dapat merasai pengalaman pembelajaran yang lebih luas, seterusnya membentuk keperibadian yang lebih berdaya tahan, kreatif dan berdikari dalam kehidupan seharian mereka.