Oleh : AUNI NADHIRAH SAHARUDIN

Tanjong Malim, 18 Januari 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej, Kolej Aminuddin Baki (KAB) menerusi Exco Kerohanian dengan kerjasama rakan strategik Markas PALAPES UPSI mengadakan program penyembelihan lembu dan ayam sekaligus merasmikan program Dapur Kasih Bitara KAB pada hari Sabtu, 18 Januari 2025 di Pusat Aktiviti Pelajar (PAP), Kolej Aminuddin Baki.

Kemuncak program ini telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Encik Kaliyapan Rajakumaran dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin.

Antara tetamu lain yang turut hadir ialah Ketua Jurulatih PALAPES UPSI Mejar Khairuddin Yusuff; Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Che Anuar Che Abdullah; Pengetua Blok Antarabangsa, En. Zamrus Hashim, pentadbiran kolej, felo Kolej Aminuddin Baki, Yang-dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Yang Dipertua kolej-kolej kediaman, barisan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki serta Kadet Palapes.

Objektif utama program ini untuk memberi pendedahan kepada penghuni kolej kaifiat penyembelihan haiwan yang halal di makan mengikut syarak.

Menurut Pengarah Program Dapur Kasih Bitara, Muhammad Asri Aliman, program ini dapat memberi pencerahan yang jelas dan mengetahui konsep penyembelihan mengikut syarak.

“Program ini diharapkan dapat memberi manfaat sebagai panduan dalam memahami, menyebarkan maklumat dan mengaplikasikan dalam kehidupan khususnya kepada generasi muda berkenaan kepentingan cara sembelihan yang halal mengikut syarak selain menghidupkan semangat bersatu hati dalam kalangan penghuni kolej melalui aktiviti gotong-royog bersama-sama.”

Program ini berbentuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penghuni KAB amnya melibatkan tenaga kerja daripada 300 orang penghuni KAB yang terdiri daripada penghuni awam dan kadet Palapes.

Program ini memberi peluang kepada kesemua peserta mempraktikan ilmu penyembelihan melalui sesi praktikal yang mana pihak Wakaf, Endownment, Zakat, Khairat & Sedekah (WEZAS) telah menjadi penyumbang utama sebanyak 100 ekor ayam hidup, pihak Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah menyumbang kelengkapan tambahan untuk Dapur Kasih Bitara KAB manakala pengurusan KAB telah menyumbang seekor lembu jantan untuk disembelih pada hari tersebut.  

YBhg TNC HEP & A merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada penyumbang dan beliau mengharapkan dengan rasminya Dapur Kasih Bitara sedikit sebanyak dapat membantu para penghuni yang mempunyai kekangan kewangan menggunakan dapur tersebut untuk memasak dan makan bersama.

Program ini menyokong kepada SDG 2 iaitu ‘Zero Hunger’ dan diteruskan lagi di masa akan datang di samping mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.