Pertukaran dokumen MoU disempurnakan oleh Ketua Pengarah IKIM dan Naib Canselor UPSI, disaksikan oleh Dekan FSK dan wakil IKIM

Oleh: Dr Nurul Aini Mehat

Kuala Lumpur, 18 Februari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) secara rasmi telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh wakil utama dari tiga institusi, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM). Dalam majlis ini, tiga MoU telah dimeterai, masing-masing antara IKIM dan UPSI, UTHM dan IBFIM MoU ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara institusi, menggalakkan kolaborasi dalam pelbagai bidang penyelidikan, serta memperluas jaringan akademik bagi meningkatkan impak keilmuan.

Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM

IKIM mengucapkan penghargaan kepada pihak UPSI, UTHM dan IBFIM atas kesediaan mereka untuk kerjasama dalam membentuk sinergi melalui MoU yang dimeterai. “Semoga MoU ini membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dan meluas dalam pelbagai bidang yang boleh diteroka bersama. IKIM percaya bahawa setiap institusi yang hadir memiliki kepakaran dan keunikan tersendiri,” ujar Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM, yang turut meraikan ulang tahun IKIM ke-33.

Tambah beliau “Sinergi antara tiga institusi sebagai gedung ilmu, bersama peranan IKIM sebagai badan pemikir Islam, diharapkan dapat memberikan manfaat yang besar kepada pemegang taruh dan masyarakat.”

Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff merakamkan penghargaan kepada IKIM atas kesediaannya menjadi rakan strategik dalam kolaborasi bersama Fakulti Sains Kemanusiaan. Kerjasama ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman Islam, menyumbang kepada penyelidikan akademik, dan melahirkan generasi Muslim yang berilmu, berakhlak, serta beradab. Inisiatif ini, yang dipimpin oleh Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan pelbagai jabatan dan disiplin ilmu dalamnya, membentuk sinergi kepakaran untuk mencapai matlamat tersebut.

UPSI komited melahirkan modal insan bitara melalui pendidikan holistik dan jaringan strategik dengan industri seperti IKIM. Kejayaan ini membolehkan UPSI tersenarai antara universiti terbaik Malaysia. “Alhamdulillah, hasil usaha gigih, UPSI kini berkembang pesat dan berada dalam kelompok universiti terbaik di Malaysia,” ujarnya.

“Sasaran kami adalah untuk meletakkan UPSI dalam kalangan 100 universiti terbaik dunia dalam bidang pendidikan menjelang 2030. Agenda besar ini akan dapat dicapai sekiranya setiap warga UPSI, termasuk warga FSK, berfungsi dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” tambahnya.

Bagi tahun 2024, UPSI turut meraih banyak pencapaian cemerlang yang membanggakan, yang diharapkan dapat memberi suntikan semangat bagi terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang. Kini, UPSI berada di ranking ke 126-150 dalam The World University Ranking 2025 dalam bidang penyelidikan.

Dekan FSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, berkata, “Saya amat berbangga dan teruja dengan kolaborasi ini. Diharapkan kerjasama ini tidak hanya membuka peluang untuk meningkatkan kualiti penyelidikan akademik, tetapi juga memberikan ruang kepada kami untuk menyumbang lebih banyak pengetahuan dan kepakaran kepada masyarakat.”

Barisan wakil utama dalam Majlis Persefahaman (MoU)
Barisan akademik dan pentadbiran FSK

Kerjasama strategik antara tiga institusi bersama IKIM ini diharapkan dapat terus memperkukuh kecemerlangan akademik UPSI serta menyumbang kepada aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat berilmu. Pihak universiti merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap jalinan ini memberikan impak positif yang berterusan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UPSI untuk menjadi antara 100 universiti terbaik dunia menjelang 2030, sekaligus memberi manfaat dalam pembangunan ilmu dan masyarakat.