Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Kuala Lumpur, 22 Februari 2025 – Malaysia Technology Expo (MTE) 2025, yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur dari 20 hingga 22 Februari 2025, telah menjadi medan inovasi berprestij dengan penyertaan pelbagai institusi dan penyelidik dari dalam serta luar negara.

Acara ini menyaksikan kehadiran dua juri penilai pada hari pertama bagi menilai setiap penyertaan secara terperinci.

Pada hari kedua, majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta tetamu-tetamu kehormat yang menunjukkan sokongan terhadap inovasi dalam pendidikan dan teknologi.

Hari ketiga menjadi detik yang dinantikan dengan pengumuman pemenang, yang mengiktiraf hasil usaha penyelidik terbaik.

Dalam majlis anugerah tersebut, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), bersama Pusat Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan bangganya berjaya merangkul Pingat Emas (Gold Award) dalam Innovation International Awards bagi kategori Education Technology and Pedagogy.

Kejayaan ini adalah hasil daripada kajian Pembangunan Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a, yang direka khas untuk memperkasakan pendidikan hafazan Al-Quran bagi kanak-kanak seawal usia tiga tahun.

Kajian ini dijalankan oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) serta penyelidik bersama Dr. Sakinah Salleh dari PUA dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Profesor Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dari NCDRC dan FPM, Dr. Intan Farahana Abdul Rani dari NCDRC dan FPM serta Profesor Madya Dr. Aslina Saad dari Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META).

Kajian ini telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan penilaian sebelum akhirnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Idris Jusoh, selaku penaung program hafazan Thalatha Tis’a, yang telah memberikan sokongan penuh dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan kurikulum ini.

Penghargaan turut diberikan kepada pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang memainkan peranan penting dalam menyokong secara luar biasa usaha memperkasakan penyelidikan dan inovasi UPSI.

Kurikulum dan modul yang dibangunkan ini mengintegrasikan teknologi pendidikan serta pendekatan pedagogi inovatif dalam proses pembelajaran dan pengajaran hafazan, selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Penyampaian Pingat Emas oleh Professor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya

Pencapaian ini menjadi bukti bahawa inovasi hasil penyelidikan dalam pendidikan mampu mencipta perubahan besar serta memperkukuhkan lagi usaha UPSI dalam membangunkan kurikulum berasaskan teknologi dan pedagogi terbaik.

Semoga kejayaan ini terus menjadi inspirasi kepada penyelidik, pendidik, serta institusi pendidikan dalam memperkasa pembangunan kanak-kanak dan pendidikan tinggi di Malaysia.

UPSI akan terus komited dalam menghasilkan inovasi berkualiti demi kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang berimpak tinggi.