Oleh : Muhammad Airul Idham Baharin

Telah berlangsung sesi penyerahan sijil pengiktirafan MyMeal #SEDAPJIMAT oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha kepada 2 pengusaha makanan Kafeteria Pusat Islam & KHAR iaitu JNJ Gemilang Resources & The Chef Box. Sesi penyerahan tersebut telah diadakan di Pejabat Kesihatan Negeri Perak, Ipoh. Turut hadir bersama pengurusan tertinggi Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN Perak) iaitu Dr. Husna Maizura binti Ahmad Mahir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Cik Afiedah binti Munir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan & Kualiti Makanan) serta timbalan-timbalan pengarah bahagian.

Penyerahan sijil oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha (Berbaju Melayu Hijau) kepada pengusaha makanan yang diiktiraf

Mymeal adalah pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi set menu lengkap terdiri daripada sumber karbohidrat, sumber protein dan sayur-sayuran sebagai sumber vitamin dan mineral dengan elemen hidangan sihat. Pengiktirafan ini juga mengangkat menu pengusaha yang dipilih dijual dengan harga berpatutan sekaligus telah mengiktiraf 4 menu daripada JNJ Gemilang Resources iaitu Nasi Ayam Penyet, Soto Ayam, Bihun Sup dan Lontong Pecal manakala The Chef Box (MIB Miz Empire) dengan 2 menu iaitu Nasi Ayam Kunyit dan Nasi Ayam Kicap.

Ketika sesi penyerahan tersebut hanya 3 sahaja pengusaha makanan di perak menerima pengiktirafan KKM, dua daripadanya adalah daripada UPSI sekaligus menjadikan UPSI sebagai IPTA/IPTS tunggal penerima di Perak bagi tahun 2024-2027. Diharapkan agar lebih banyak pengusaha makanan di kafeteria UPSI akan menerima pengiktirafan pada tahun-tahun berikutnya.