oleh: Nada Hilmy
Tanjong Malim, 27 April 2025 — Dalam dunia yang semakin pantas berlari mengejar kemajuan dan teknologi, masih wujud satu nadi yang tidak pernah kehilangan degupnya — budaya.
Menyedari pentingnya menjaga akar tradisi ini, Exco Kesenian dan Kebudayaan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membina sebuah jambatan antarabangsa melalui program DwiSutra: Jalinan Budaya Antarabangsa.
Program ini menghimpunkan jiwa-jiwa muda dari Indonesia, Uzbekistan, dan Malaysia, yang bertemu di satu persimpangan bernama warisan.



Melalui penglibatan aktif Universitas Mercu Buana, Universitas Bina Darma, dan Tashkent State University of Oriental Studies, acara ini menjadi wadah pertukaran budaya yang kaya, melibatkan penyertaan pensyarah dan mahasiswa dari ketiga-tiga institusi untuk bersama-sama meraikan khazanah budaya serta berkongsi pengalaman rentas sempadan.
Menariknya, DwiSutra bukan sekadar sebuah acara tunggal, ia merupakan gabungan sembilan program utama yang merangkumi persembahan kebudayaan, forum ilmiah, bengkel seni, pameran, jelajah kampus, malam apresiasi budaya, lawatan warisan, pertandingan seni kreatif.



Kepelbagaian ini membuktikan bahawa budaya bukan sahaja untuk dirai, tetapi juga untuk difahami, dihargai dan diperkukuh melalui interaksi antara bangsa.
Menurut Dr. Nuszep, wakil dari delegasi Indonesia, “Melalui berbagai aktiviti yang telah kita lalui bersama, semangat DwiSutra dan jalinan dua hala yang erat benar-benar terwujud dalam setiap tawa, diskusi, dan kolaborasi kita,” ujar beliau dalam ucapannya semasa majlis penutupan DwiSutra: Jalinan Budaya Antarabangsa.
Keunikan program ini terletak pada pendekatannya yang menyeluruh dan transformatif. DwiSutra bukan sekadar sebuah acara budaya, tetapi satu inisiatif yang menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat melalui sastera, seni, sukan, dan kemanusiaan.



Di sinilah, peserta bukan hanya merayakan kebudayaan negara mereka sendiri, tetapi juga belajar tentang adat, etika, dan cara hidup yang berbeza, membentuk kesatuan dalam kepelbagaian.
Ia adalah persilangan budaya yang membolehkan setiap peserta merasai pengalaman bertukar pemikiran dan tradisi, menjadikan setiap sesi satu pertemuan yang penuh makna.
Suci Prestika, seorang mahasiswi dari Universitas Bina Darma, menyampaikan rasa terima kasihnya dalam sebuah catatan yang menyentuh hati.
Beliau mengungkapkan penghargaan yang mendalam kepada semua yang telah menyambut mereka dengan sangat baik selama satu minggu di Malaysia.
Beliau menyatakan bahawa langit Malaysia menjadi saksi perjalanan mereka mengejar impian di negara ini. Walaupun datang sebagai tamu, mereka disambut seperti saudara.
Menurutnya, pengalaman di sana bukan hanya sekadar pertukaran budaya dan ilmu, tetapi juga pertemuan hati yang melintasi batas negara.
Menurut Mr. Mirzanov Sherzod Sirlbaevich, wakil delegasi dari Uzbekistan, “It is undeniable and crystal clear that DwiSutra is one of the powerful tools in strengthening international friendships and mutual understanding,” ujar beliau dalam ucapannya semasa majlis penutupan DwiSutra: Jalinan Budaya Antarabangsa.
Program DwiSutra: Jalinan Budaya Antarabangsa telah mempersembahkan sembilan program utama yang berteraskan pelbagai kluster merangkumi akademik, seni, warisan, protokol, kesukarelawanan dan kesihatan mental dengan matlamat memperkukuh hubungan dua hala dan menyemai kefahaman rentas budaya dalam kalangan peserta dari Malaysia, Indonesia dan Uzbekistan.
Antaranya, Forum Cakna: Selamatkah Kita Dalam Sendirian membuka ruang wacana tentang kesihatan mental yang semakin relevan dalam konteks masyarakat global, manakala Warkah Bicara Sastera menyatukan peminat sastera dalam apresiasi puisi dan naratif budaya nusantara.
Khat-Zanah mengetengahkan seni khat sebagai simbol warisan Islam yang menyatukan tamadun timur, dan RITMA: Rentak Gemalai serta RITMA sebagai persembahan utama menjadi medan interaksi seni tari dan muzik dari pelbagai negara yang memukau dan menyentuh nilai identiti.
Kembara Ihsan, sebuah misi khidmat komuniti, membentuk empati dan semangat kesukarelawanan merentas sempadan budaya, manakala KUO Force 3.0 memupuk kemahiran kepimpinan pelajar dalam suasana kolaboratif dan pelbagai latar belakang.
Di samping itu, Bengkel Protokol: PROCEP memperkasakan peserta dengan ilmu etiket, pengurusan majlis dan komunikasi profesional bertaraf antarabangsa, manakala BALARI, iaitu larian berkonsepkan warisan tradisional, menjadi simbol gaya hidup sihat yang dipadukan dengan nilai budaya tempatan.
Secara keseluruhan, kesemua program ini telah berjaya mewujudkan ruang persilangan budaya yang bermakna, bukan sahaja melalui pertukaran ilmu dan ekspresi seni, tetapi juga melalui pembinaan hubungan insani, saling menghargai perbezaan dan membina solidariti antarabangsa yang mampan.
Pengarah program, Darwisyah Afrina, dalam ucapannya pada malam majlis penutupan DwiSutra, menyatakan, “Saya amat berharap agar DwiSutra menjadi platform permulaan kepada lebih banyak jalinan antarabangsa di masa hadapan.
Jelas, DwiSutra telah membuktikan bahawa kekuatan budaya mampu merentas sempadan dan mengeratkan hubungan antara negara.”
Dengan semangat persilangan budaya yang dipupuk melalui program ini, kita mencipta satu ruang di mana perbezaan tidak menjadi halangan, sebaliknya ia menjadi kekuatan yang menyatukan. Melalui setiap interaksi, setiap program, dan setiap langkah, DwiSutra mengukir kenangan yang tak terlupakan, membina jambatan antara bangsa, dan mengeratkan tali persahabatan antara kita semua.
