oleh: Nasrin dan Syrelyn
Tanjung Malim, 21 April 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, telah menganjurkan Forum Cakna Serumpun (FOCASE): Selamatkah Kita dalam Kesendirian?
Forum ini berkolaborasi dengan Universitas Mercu Buana dan Universitas Bina Darma dari Indonesia serta mendapat penajaan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Tema forum ini berfokuskan isu keselamatan dalam kesendirian, dengan penekanan pada pengetahuan keselamatan diri. Pemilihan tema ini adalah bertepatan dengan peningkatan isu keselamatan yang semakin kritikal di kalangan mahasiswa yang menuntut ilmu di institusi pengajian.



Forum ini turut melibatkan penyertaan peserta dari Universitas Bina Darma dan Universitas Mercu Buana, Indonesia, serta wakil dari Jabatan Perwakilan Kolej Zon C, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah.
Secara keseluruhan, 18 peserta bersama seorang penasihat hadir untuk memeriahkan forum ini. Program ini mendapat perhatian yang luar biasa daripada mahasiswa dan mahasiswi, terutamanya kerana penglibatan Encik Fedtri Yahya, Ikon Bahasa Kebangsaan Malaysia, sebagai moderator.
Forum ini turut menampilkan panelis-panelis berpengalaman dalam bidang keselamatan, antaranya Encik Harith Reazal, peguam pelatih dan graduan undang-undang syariah; Prof. Madya Dr. Nurul Ain Hidayah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Gangguan Seksual dan Etika Penyelidikan Manusia, UPSI; Encik Achmad Fadlillah, wakil dari Universitas Bina Darma; dan Dr. Itryah Syamsul Bahrun, Ketua Program Studi Psikologi, Universitas Bina Darma.
Chm. Dr. Mohd Saufi, Ketua Felo Kolej Ungku Omar, dalam ucapan perasmian menyatakan, “Forum ini bukan sahaja menjadi platform perbincangan dua hala, tetapi juga simbol saling hormat-menghormati dan inspirasi untuk membina jalinan yang lebih kukuh antara dua negara.” Ucapan ini merasmikan program tersebut.



Forum yang berlangsung selama 1 jam 45 minit ini membincangkan secara mendalam isu kesendirian dengan menampilkan panel berkaliber dan berpengalaman.
Pelbagai pandangan dan pendapat dikongsi bagi memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada para hadirin.
Salah seorang panelis, Encik Achmad Fadlillah, menekankan kepentingan hubungan sosial dalam kehidupan manusia.
Beliau menyatakan, “Sebagai manusia, kita tidak seharusnya hidup dalam kesendirian. Manusia diciptakan untuk bersosial, untuk bersahabat, dan saling menyokong antara satu sama lain. Jangan pernah merasa bahawa kita bersendirian, di mana sahaja kita berada.”
Selain forum, pertandingan poster digital dengan tema Keselamatan Diri, Tanggungjawab Bersama turut dianjurkan sempena acara ini. Pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 64 peserta dari pelbagai institusi pengajian.
Tiga pemenang diumumkan dan menerima hadiah wang tunai serta sijil penghargaan atas kreativiti dan usaha mereka.
Majlis juga dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, sekaligus menyemarakkan minat terhadap bahan bacaan bermutu di kalangan peserta dan hadirin.
Maklum balas positif turut diterima daripada wakil UiTM Kampus Alor Gajah yang menyatakan, “Program ini memberikan banyak manfaat untuk menambah pengetahuan kami, terutamanya dalam aspek undang-undang, psikologi, dan keselamatan pelajar.” Mereka juga berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Secara keseluruhan, objektif utama forum ini untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu keselamatan dan kesejahteraan, terutamanya dalam konteks kehidupan bersendirian, telah berjaya dicapai dengan penuh keberkesanan.
Forum Cakna Serumpun (FOCASE) bukan sahaja merupakan pertemuan intelektual, tetapi juga langkah penting ke arah membina kesedaran, kefahaman, dan jaringan kerjasama serantau antara Indonesia dan Malaysia bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan mahasiswa, meskipun dalam kesendirian.
