Oleh : Irfan Danish Mohd Sukri
Tanjong Malim, 25 April 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (UPSI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perak telah menganjurkan pelaksanaan Program Menu Rahmah bersama rakan strategik yang terdiri daripada pengusaha kedai makanan yang beroperasi di Kafe Kolej Harun Aminurrasyid.
Program ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Dato’ Kamalludin bin Ismail, Pengarah KPDNK Perak yang turut serta untuk merasmikan pelancaran Program Menu Rahmah yang merupakan salah satu dari inisiatif pihak KPDNK untuk membantu dan mengurangkan kos sara hidup terutama kepada golongan B40 khususnya mahasiswa/i di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).


Ketibaan Pengarah KPDNK turut diraikan oleh Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Pengetua Kolej Aminuddin Baki, En. Zulkifli Mamat, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi , Dr. Khalizul Khalid beserta barisan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki.
Program ini juga turut dihadiri oleh Pengarah Pulami, Prof Madya Dr. Ashardi Abas; Timb. Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar, En. Abd Ghani bin Mansor; Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Perak, Tuan Mohamad Kamarol bin Mat Nor; Ketua Cawangan KPDN Tapah, Mr. Jeyasunter A/L Jeyarajan, Ketua Seksyen PPDN KPDN Perak, Tn. Mohd Badrul Hisham Ahmad Alias.
Turut diraikan dalam pelancaran Program Menu Rahmah tersebut adalah pengusaha gerai makanan antaranya The Chef Box, Ewan Cafe, K-Chick dan Warung Dais. Kesemua penggerai ini telah diberikan plak penghargaan Menu Rahmah serta banting menu-menu Rahmah yang disediakan.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Kamalludin Ismail, beliau menyatakan Porgram Menu Rahmah merupakan satu inisiatif KPDN bersama rakan strategik yang terdiri dari Pengusaha Kedai Makanan (Bermasak) dan Gerai Makanan dalam usaha kerajaan membantu dan mengurangkan kos sara hidup terutama golongan B40.


Pengusaha kedai makanan dan restoran yang menyertai Program Menu Rahmah telah bersetuju menyediakan makanan harian (samada makan tengahari atau malam) pada kadar tidak melebihi RM5.00 bagi satu hidangan. Biasanya hidangan dalam Menu Rahmah ini mengandungi satu sumber protein dan satu jenis sayur.
Melalui kerjasama ini, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki dan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perak optimis bahawa program seperti ini seharusnya dilaksanakan di semua kafe di dalam UPSI dalam menyokong gagasan Malaysia Madani yang mengutamakan kebajikan mahasiswa/I UPSI terutama dari kalangan keluarga B40.
