Oleh: Fayyadhatul Alyaa dan Najidah Yahaya

Tanjong Malim, 12 April 2025– Sebuah inisiatif berimpak tinggi, Projek Kesukarelawanan Komuniti 1: ECO-VENTURE berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Datuk Nan Kaya. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UPSI Preloved Shoppe Club dan pihak sekolah.

Program yang melibatkan seramai 25 orang sukarelawan UPSI serta 30 orang pelajar tahap dua SK Datuk Nan Kaya dikendalikan oleh Pegawai Psikologi dari Pusat Kaunseling, Najidah Yahaya dan bekerjasama dengan Guru Besar SK Datuk Nan Kaya iaitu Tuan Kharol Hafizan Ismail.

Program ini dirangka bertujuan untuk menanam nilai kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar dan sukarelawan selain memupuk semangat kerjasama kreativiti serta rasa tanggungjawab sosial dalam diri mereka. Antara objektif utama termasuklah memupuk keprihatinan terhadap isu alam sekitar, membina hubungan silaturrahim dan memperkukuh penglibatan dalam aktiviti komuniti yang berasaskan kelestarian.

Antara sorotan menarik sepanjang program ialah aktiviti menanam anak pokok herba yang memperlihatkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan sukarelawan UPSI. Walaupun berdepan cuaca panas, para peserta kekal bersemangat dalam menggali tanah dan menyusun tanaman secara sistematik. Selain daripada aktiviti menanam pokok herba, aktiviti mencipta model daripada bahan kitar semula seperti botol plastik, kotak dan kertas. Para pelajar menunjukkan kreativiti luar biasa dalam menghasilkan model inovatif berkonsepkan kelestarian. Setelah aktiviti dilakukan sesi pembentangan membuka ruang kepada mereka untuk meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan.

Selain itu, aktiviti kuiz silang kata bertemakan alam sekitar turut dijalankan bagi menguji pengetahuan dan meningkatkan kesedaran pelajar tentang isu semasa berkaitan pemeliharaan alam. Hasil daripada program yang dilakukan adalah apabila suasana sekolah menjadi lebih terapeutik dengan kewujudan taman pokok herba. Diharapkan nilai dan ilmu yang diperoleh dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian oleh semua peserta.

ECO-VENTURE bukan sahaja menjadi medan interaksi dan pembelajaran berasaskan pengalaman, malah membuka lembaran baharu dalam usaha memupuk budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.