Oleh: Fayyadhatul Alyaa dan Muhammad Luqman

Tanjong Malim, 9 April 2025 – Seramai 63 orang murid dari barisan kepimpinan pelajar Sekolah Kebangsaan Dato Kamaruddin, Behrang Ulu, Perak menyertai Program Aspirasi Pemimpin Kelas Pertama yang berlangsung di Pusat Pelajar, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini merupakan satu inisiatif bermanfaat yang bertujuan membentuk ciri-ciri kepimpinan unggul dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Program ini telah dijalankan dengan kerjasama Pusat Kaunseling dan Psychology First Aid (PFA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menampilkan beberapa slot interaktif bagi mengetengahkan teori dan amali kepimpinan. Objektif utama program adalah untuk memberikan pendedahan tentang konsep kepimpinan berkesan, meningkatkan keyakinan diri serta mengasah kemahiran komunikasi, pengurusan masa dan penyelesaian masalah dalam kalangan peserta.

Antara perkara menarik sepanjang program ialah aktiviti team building dalam slot “Human Centipede” yang berjaya mencetuskan semangat kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan peserta. Aktiviti ini turut mendapat maklum balas positif daripada para guru dan peserta kerana pendekatan modulnya yang praktikal dan menyeronokkan.

Program ini turut menyelitkan sesi ceramah yang dikendalikan oleh penceramah Ahmad Shazwi Ahmad Shukri, yang menyampaikan perkongsian bermanfaat mengenai peranan dan tanggungjawab pemimpin dalam persekitaran sekolah. Slot ini dilengkapi dengan aktiviti dan brainstorming bagi merangsang pemikiran kritikal peserta. Kehadiran guru-guru bertugas dan fasilitator turut mencerminkan komitmen penuh terhadap usaha melahirkan pemimpin cilik yang berintegriti dan berwibawa.

Program ini telah memberikan impak positif dalam membentuk sahsiah kepimpinan murid, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta. Ia diharap dapat menjadi inspirasi kepada program-program pembangunan kepimpinan murid yang lain pada masa akan datang.