Oleh: Fayyadhatul Alyaa Ahmad Misnun
Slim River, 24 April 2025 – Program Counselor on Wheels: Santuni Komuniti Siri 3 anjuran Pusat Kaunseling UPSI dan Majlis Daerah Tanjong Malim dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan UPSI dan Persatuan Psychological First Aid (PFA) mengorak langkah proaktif dengan berlangsungnya di tapak Pasar Malam Slim River. Seramai 100 orang komuniti telah berjaya menambat hati mereka untuk memasuki pameran bas Pendidikan yang disediakan.
Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik Pusat Kaunseling UPSI dalam menjayakan agenda Malaysia Madani melalui pendekatan turun padang untuk mendekati komuniti dan dapat memperluaskan hubungan rakan strategi. Program yang membawa konsep kaunseling bergerak ini membuka ruang kepada masyarakat untuk mendekati kaunselor secara santai dan terbuka, di samping menyampaikan maklumat berkaitan khidmat informasi, konsultasi serta aktiviti interaktif kepada masyarakat.


Sepanjang program, pelbagai pengisian bermanfaat disediakan, antaranya pameran pendidikan kesihatan mental, bimbingan kerjaya, ujian saringan Kesihatan mental (DASS-21), aktiviti terapi untuk kanak-kanak, serta pendedahan kepada perkhidmatan kaunseling.
Menariknya, program ini turut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung pasar malam, termasuk ibu bapa, guru, pekerja swasta dan kakitangan agensi kerajaan. Ramai antara mereka menyatakan minat untuk mengadakan program seumpama ini di tempat kerja, sekolah mahupun organisasi masing-masing. Ada juga yang menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan Pusat Kaunseling UPSI bagi membawa Bas Pendidikan ini ke kawasan mereka sebagai platform advokasi yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.
