Oleh: Fayyadhatul Alyaa Ahmad Misnun
Tanjong Malim, 16 April 2025 – Program Counselor on Wheels: Santuni Komuniti Siri 1 anjuran Pusat Kaunseling UPSI dan Majlis Daerah Tanjong Malim dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan UPSI dan Persatuan Psychological First Aid Team UPSI (PFA) telah berlangsung dengan jayanya di Pasar Tani Tanjong Malim. Program ini diadakan dari jam 8:00 pagi hingga 11:00 pagi dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat.
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan keunikan bas pendidikan UPSI kepada komuniti setempat serta komuniti yang datang ke Pasar Tani. Tema yang dibawa berkaitan “Mental Health” adalah bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kalangan komuniti terutamanya di kawasan Tanjong Malim. Justeru itu, ianya juga mengasah keyakinan dan keupayaan mahasiswa UPSI yang menjadi sukarelawan dalam menyantuni masyarakat. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Nurul Hasyimah Mat Rani dan pegawai Pusat Kaunseling yang lain. Mereka membantu dalam menyantuni komuniti Tanjong Malim dan peniaga-peniaga di pasar tani.


Antara sorotan menarik sepanjang program ini termasuklah pameran di dalam bas pendidikan UPSI yang berjaya menarik perhatian ramai pengunjung. Ramai dalam kalangan mereka meluahkan keterujaan terhadap kandungan pameran yang bukan sahaja unik, malah memberi informasi baharu berkaitan kesedaran dan penjagaan kesihatan mental. Ujian saringan kesihatan mental yang dijalankan oleh ahli PFA UPSI turut mendapat sambutan menggalakkan dan ia menjadi medan terbaik kepada komuniti untuk memahami tahap kesihatan mental mereka dengan lebih jelas.


Anggaran kehadiran seramai 100 orang peserta daripada komuniti Tanjong Malim menunjukkan minat mendalam masyarakat terhadap usaha mendekati isu kesihatan mental melalui pendekatan bersemuka dan interaktif ini.
Menurut maklum balas daripada pihak Majlis Daerah Tanjong Malim, program ini telah memberikan impak yang positif kepada komuniti. UPSI juga menerima respon baik daripada kalangan mahasiswa yang terlibat secara langsung.
