Oleh: Tang Xin Hui

Tanjong Malim, 28 April 2025- Exco Publisiti dan Informasi Persatuan Majlis Anak Johor (M@JOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Pertandingan Tiktok Kreatif: Manis-manis Raya yang berkolaborasi bersama-sama Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Persatuan Multimedia Kreatif (PMK), Persatuan Rukun Negara dan Persatuan Rakan Alam Sekitar. Pertandingan bermula dari 24 Mac hingga 17 April itu terbuka kepada semua mahasiswa UPSI dan orang awam.

Majlis penutup secara dalam talian diadakan melalui platform Google Meet pada 28 April telah dirasmikan oleh Nora Asyikin Musa, Yang Dipertua Majlis Anak Johor (M@JOR) sidang 2024/2025. Terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan seperti kategori peringkat universiti dan kategori peringkat orang awam.

Menurut Nora Asyikin, program berbentuk pertandingan ini dirangka bagi memberi peluang kepada mahasiswa UPSI serta orang awam untuk menyerlahkan kreativiti dalam dunia digital ini. Bukan itu sahaja, kemeriahan suasana Hari Raya juga dapat diwujudkan dengan adanya kreativiti dan hiburan yang dilakukan bersama ahli keluarga.

“Pertandingan ini diadakan bukan sahaja mencungkil bakat kreatif anak muda, malah memberi ruang untuk mahasiswa UPSI serta orang awam untuk menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri dengan cara yang terkini dan menghiburkan. Dengan harapannya supaya program yang dirancang ini akan memberi manfaat kepada semua pihak serta mengeratkan lagi silaturahim dengan semangat dan kemeriahan menyambut hari Aidilfitri yang mulia,” kata pengarah program, Amira Natasya Rosman.

Bagi kategori awam, naib johan dimenangi oleh Nur Intan Diana Abdullah manakala johan dimenangi oleh Balqis Rosli. Bagi kategori universiti, tempat ketiga dimenangi oleh Nur Ain Syafiqah Abdul Samad, naib johan dimenangi oleh Nur Syahmin Balqis Mohd Seferi dan johan dimenangi oleh Muhd Zakwan Azmizi Mohd Zaihidi.

Program pertandingan ini telah berjaya mencungkil bakat menghasilkan karya tiktok yang memang berkreatif dan menarik dalam kalangan pelajar UPSI serta orang awam. Diharapkan agar program berbentuk pertandingan ini dapat diadakan lagi pada masa yang akan datang.