Oleh: Farisya Irdeanna Faidrul Iqmar, Nur Amira Husna Ali dan Linda Aimuni Mawandi

Tanjong Malim, 16 April 2025 – Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2024/2025 telah menganjurkan program ISMP Familia Bonding 2025 bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar serta memperkasa ilmu dalam kalangan bakal pendidik Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.​

Program ini diketuai oleh Saudara Aeron Winter Anak Jackson selaku Pengarah Program dan dianjurkan oleh Unit Pendidikan Ekonomi, PPEFPE. Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang holistik, berdaya saing, dan kritis, di samping memberi peluang kepada pelajar memperkasa kepimpinan dan pemikiran melalui aktiviti interaktif serta perkongsian ilmu.​

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Perakaunan, Ekonomi, dan Perniagaan seramai 188 orang. Aktiviti pertama adalah sesi icebreaking dan sukaneka yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara pelajar senior dan junior.​Pada jam 10.00 pagi, program diteruskan dengan slot Ujian Personaliti Warna yang disampaikan oleh Puan Noor Syaibah binti Shabuddin, Pegawai Tadbir dari Pusat Kaunseling UPSI. Beliau menekankan bahawa mengenali personaliti diri sendiri dan rakan sekeliling dapat menimbulkan perasaan hormat antara satu sama lain.​

Slot perkongsian seterusnya dikendalikan oleh Dr. Ramdzan Ali bin Saibon, Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Beliau berkongsi sepuluh tips penting untuk menduduki temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), berdasarkan pengalamannya dalam bidang pendidikan.​

Program ini diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), Dr. Khalizul bin Khalid, dan diteruskan dengan Jamuan Mesra Raya yang berkonsepkan potluck, di mana semua peserta membawa juadah masing-masing untuk dikongsi bersama.​

Program ISMP Familia Bonding 2025 diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa/i UPSI untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik. Ia juga diharap mampu meningkatkan motivasi diri dan prestasi pelajar, serta menjadi platform yang menyokong perkembangan menyeluruh pelajar UPSI.