Oleh: Agnes Phscillia Philip
TANJUNG MALIM, 17 Mei 2025 – Suasana pasar malam yang biasanya riuh dengan jual beli menjadi lebih bermakna apabila pelajar Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program kesedaran siber bertajuk “Klik atau Tidak: Mahu Jadi Mangsa Scammer?”. Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) bagi kursus DSC2013 Cybersecurity Awareness. SULAM tersebut bertujuan mendekatkan mahasiswa dengan komuniti melalui pendidikan digital sekaligus dapat membanteras penipuan atas talian yang semakin menular dalam media sosial.
Kerjasama erat antara pensyarah, pelajar dan masyarakat setempat menjadi faktor utama kejayaan program yang berlangsung dari pukul 4.00 petang hingga 7.15 petang itu. Aktiviti menarik seperti pengedaran risalah, temu bual bersama pengunjung serta permainan interaktif “Pick & Stick Challenge” telah berjaya menarik perhatian orang ramai dan menyampaikan mesej tentang bahaya pautan mencurigakan serta taktik penipuan atas talian.

Pengarah program, Nur Zulifah Mohd Yazim menyatakan bahawa pendekatan santai yang mesra rakyat ini membolehkan mesej keselamatan digital disampaikan dengan lebih berkesan. Beliau berharap usaha kecil ini mampu mencetus kesedaran yang besar dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya melindungi diri daripada ancaman siber.

Program ini turut menunjukkan bagaimana institusi pendidikan tinggi dapat berperanan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan kesedaran komuniti. Para pengunjung dilaporkan lebih peka terhadap isu keselamatan digital selepas menyertai aktiviti yang dijalankan dan menerima panduan berguna untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scam.
