oleh : Noor Arisya Zulkifli dan Dr. Mohamad Albaree Abdul
Tanjong Malim, 25 JUN 2025 – Pusat kepada dedikasi dan kecemerlangan pelajar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (MAKPAKK) kembali lagi tahun ini dengan penuh gaya dan makna.
Dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPAKK) UPSI, acara ini bukan sekadar meraikan, malah menyuntik semangat baharu kepada mahasiswa untuk terus menyinar dalam akademik dan pembangunan diri.



Bermula seawal jam 7:30 malam, para pelajar dan tetamu kehormat mula memenuhi ruang Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah. Suasana menjadi hidup dengan nyanyian lagu-lagu rasmi seperti Negaraku dan Revolusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang dinyanyikan penuh semangat oleh seluruh dewan.
Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Program, Alya Maizatul Ain Liwe yang menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar atas komitmen dan usaha gigih dalam melaksanakan dan menjayakan program ini. Beliau menekankan pentingnya dedikasi dan semangat untuk terus mencapai kecemerlangan akademik.
Seterusnya, ucapan disampaikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Seah Siok Peh, yang berkongsi harapan beliau agar para pelajar terus berusaha dengan penuh azam dalam menimba ilmu dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran masa depan.



Kemuncak majlis ialah ucapan perasmian oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), FPM, Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, yang menyampaikan mesej penuh inspirasi dan motivasi. Beliau mengajak semua pelajar untuk terus berinovasi, berani mencuba, dan mengekalkan semangat kecemerlangan dalam setiap aspek pengajian mereka.
Antara kemuncak malam ialah sesi penyampaian Anugerah Dekan kepada pelajar cemerlang dari semester 2 hingga 7. Setiap nama yang diumumkan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh – tanda sokongan padu komuniti PAKK terhadap pencapaian rakan seperjuangan.
Tidak ketinggalan, penghargaan khas turut disampaikan kepada penasihat persatuan PAKK, Dr. Mohamad Albaree Abdul, barisan Majlis Tertinggi dan Ketua Batch yang memainkan peranan penting dalam kelancaran persatuan sepanjang tahun.



Majlis turut diserikan dengan persembahan pelajar, yang menonjolkan bakat seni dan kreativiti mereka dalam bentuk nyanyian serta lakonan pendek bertemakan kasih sayang dan penghargaan. Sesi Pakaian Terbaik juga menceriakan majlis, menunjukkan keterampilan dan identiti pelajar dalam berfesyen sambil mengekalkan etika.
Acara MAKPAKK 2025 melabuhkan tirai dengan sesi fotografi kenangan bersama tetamu kehormat dan semua pelajar. Senyuman terpancar di wajah mereka bukan sekadar kerana hadiah atau sijil, tetapi kerana pengiktirafan terhadap usaha yang selama ini mungkin senyap tanpa tepukan.

“Apresiasi kecemerlangan ini bukan sekadar meraikan pencapaian ia menyemarakkan semangat untuk terus melangkah lebih jauh.”
