Oleh: Nurul Husmi Sulaiman
Tanjong Malim– Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara ke-68, TASKA dan TADIKA NCDRC UPSI menganjurkan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2025 di perkarangan Bangunan TASKA dan TADIKA NCDRC, dengan penglibatan seramai 240 kanak-kanak berusia dari bayi hingga enam tahun, para pendidik, pembantu guru dan kakitangan NCDRC.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC. Turut hadir Dr. Nadia Shahira Amiruddin (Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-kanak), Dr. Jamilah Mohd Basir (Penyelaras Penerbitan dan Jaringan Industri & Komuniti) dan Dr. Harnani Mat Zin (Penyelaras Unit Data dan Sistem Data).


Kanak-kanak tampil ceria dengan pelbagai pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang, lengkap dengan aksesori kreatif seperti tanjak, songkok dan selempang, yang menyerikan lagi suasana. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gimik perasmian, laungan kemerdekaan dan nyanyian lagu patriotik. Terdapat aktiviti lain yang akan dijalankan sepanjang bulan Kemerdekaan antaranya Pertandingan Kolaj Merdeka, Melukis dan mewarna serta Mini Sukan Tradisional Merdeka.

Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-kanak NCDRC, Dr. Nadia Shahira Amiruddin berkata, “Pelaksanaan Bulan Kemerdekaan ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu pendekatan pendidikan awal kanak-kanak yang menekankan penerapan nilai patriotisme, semangat cintakan negara dan pembentukan jati diri sejak usia muda. Pendekatan ini selari dengan konsep Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) yang menekankan Kelestarian Sosial, di mana penghayatan sejarah kemerdekaan dapat memupuk rasa hormat-menghormati, perpaduan dan tanggungjawab sosial sebagai asas kepada masyarakat yang harmoni dan berdaya maju.”
“Kanak-kanak perlu didedahkan dengan nilai cinta tanah air sejak usia kecil supaya mereka membesar dengan rasa hormat dan tanggungjawab terhadap negara. Aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan dapat membantu mereka memahami erti kemerdekaan dengan cara yang mudah dihayati,” katanya lagi.
Objektif program ini adalah untuk memupuk dan menyemai semangat patriotisme serta jati diri dalam kalangan kanak-kanak, mewujudkan rasa kasih sayang kepada negara bersama ibu bapa, menggalakkan kreativiti ibu bapa dan anak-anak melalui kerjasama antara pendidik, pembantu guru dan ibu bapa dalam memupuk semangat cintakan negara.
Kemeriahan menantikan sambutan hari kemerdekaan jelas terpancar melalui wajah ceria kanak-kanak yang terlibat. Usaha ini diharap dapat diteruskan setiap tahun bagi membentuk generasi muda yang berjati diri, bersemangat tinggi dan mencintai negara.
