Oleh: Jamilah Mohd Basir
Tanjong Malim– Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan program siaran langsung NCDRCast Episod 1 bertajuk “Saya Anak Malaysia” pada 12 Ogos 2025.


Program ini membawakan dua panel hebat iaitu Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin, pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dan Dr. Nadia Shahira Amiruddin (Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-Kanak) yang berkongsi pandangan tentang erti sebenar menjadi Anak Malaysia, khususnya dalam konteks pendidikan dan pembangunan kanak-kanak.
Program santai tetapi sarat dengan mesej patriotisme ini disiarkan secara langsung pada jam 3.00 petang melalui platform Facebook dan YouTube rasmi NCDRC. Perbincangan yang dipandu dengan gaya Ngopi Santai Ilmu Sampai memberi peluang kepada warga NCDRC, pendidik, ibu bapa dan masyarakat untuk memahami peranan semua pihak dalam memupuk semangat cintakan negara sejak usia awal.
Menurut Dr. Sahul atau lebih dikenali di media sosial sebagai Sahul HM, usia kanak-kanak antara lima hingga tujuh tahun merupakan usia penyerapan maklumat. “Di sinilah perlu kita asuh anak-anak ini untuk mengenali erti kemerdekaan, kebebasan, kepelbagaian dan kebersamaan. Anak-anak kita perlu sedar bahawa negara ini, tanah ini adalah hasil daripada pengorbanan orang terdahulu, dan kini kita perlu terus menjaganya selagi bernyawa,” katanya.
Beliau menambah, “Pelbagai kaedah boleh digunakan bagi menarik minat kanak-kanak prasekolah berusia lima hingga tujuh tahun untuk mempelajari sejarah. Tarikh dan tempat tidak perlu menjadi penekanan utama untuk dihafal, sebaliknya peristiwa dan tokoh lebih penting diketengahkan serta dikaitkan dengan pengalaman anak-anak masa kini. Simulasi dan role play adalah antara kaedah yang boleh diteroka guru. Sejarah adalah imaginasi, maka guru perlu membangkitkan imaginasi tersebut dan mengajak anak-anak turut serta berimaginasi dan berfantasi berdasarkan fakta sejarah yang sahih.”
Penganjuran NCDRCast Episod 1 ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan, malah menjadi wadah perkongsian ilmu yang menyentuh hati dan menginspirasikan masyarakat. Usaha seperti ini diharap dapat diteruskan bagi mengukuhkan semangat kebangsaan dan memupuk generasi Malaysia yang berdaya maju, harmoni dan penuh kasih terhadap negara.
