Oleh : Ts. Abdul Mueiz Rosli
Tanjong Malim, 11 Ogos 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukir nama di persada inovasi antarabangsa apabila pasukan gabungan Pusat ICT dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi meraih Pingat Emas serta tersenarai dalam 10 Finalis Terbaik bagi Kategori Professional / Industry di iDRIVE25 (2nd International Development, Research and Innovation Exhibition) yang berlangsung pada 11 Ogos 2025.
Majlis perasmian telah berlangsung di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh dan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad.
Dengan tema “Pioneering Horizons: Bridging Fundamentals, Humanizing Technology, and Shaping the Future”, iDRIVE’2025 berjaya menghimpunkan 291 penyertaan, termasuk penyertaan antarabangsa dari China dan Oman.
Dalam ucapannya, Prof. Ts. Dr. Rabiah turut menyatakan penghargaan kepada semua peserta atas sumbangan mereka dalam memperkasa inovasi pendidikan dan industri. iDRIVE25 menjadi medan pertemuan inovator dari pelbagai sektor profesional, industri, dan akademia antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Digital, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, kejayaan ini membuktikan keberkesanan kerjasama erat antara Pusat ICT dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi dalam membudayakan inovasi di kalangan staf dan ahli akademik.
Sementara itu, Ketua Kumpulan KIK i-RAY Pusat ICT, Ts. Abdul Mueiz Rosli berkata, penyertaan dalam siri pertandingan seperti ini adalah sebahagian daripada persediaan strategik Kumpulan KIK i-RAY Pusat ICT bagi menghadapi 50th International Convention On Quality Control Circle (ICQCC) 2025 di Taipei, Taiwan pada bulan November nanti”.
Penyertaan dalam iDRIVE25 menerusi Projek inovasi GeoAttendance ini menggabungkan pelbagai peringkat staf daripada kumpulan akademia, pengurusan dan profesional dan kumpulan sokongan yang terdiri daripada Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat, Ts. Abdul Mueiz Rosli, Encik Prabu Tharmalingam dan Encik Khairul Ikmal Ishak.

Projek inovasi GeoAttendance yang dibawa oleh pasukan ini telah membuktikan keunggulan mereka dengan meraih pingat emas keempat selepas kejayaan di International Education Innovation Competition (Eduinnovate) 2025, Virtual Innovation Competition Exhibition (VICE 2024) dan International Innovation ARSVOT Malaysia 2024 (IAM2024).
Kemenangan berprestij di iDRIVE25 ini menjadi satu lagi pencapaian gemilang buat Pusat ICT dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI.
Ia bukan sahaja mengangkat nama GeoAttendance sebagai inovasi bertaraf antarabangsa, malah memperkukuh semangat pasukan untuk mengharumkan nama UPSI dan negara di pentas ICQCC 2025 di Taipei International Convention Centre (TICC), Taiwan. Dengan semangat juang yang membara, UPSI yakin untuk terus melakar sejarah emas di arena inovasi global.

