Oleh : Noor Hidayah
Tanjong Malim, 18 Oktober 2025 – GRADGO : From Graduate to Greatness ialah sebuah program yang dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya bawah persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sidang 2025/2026, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).
Penganjuran program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 170 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari pelbagai program pengajian termasuk Diploma dan Ijazah.
Objektif pelaksanaan program ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan motivasi mahasiswa/i UPSI untuk lebih bersemangat dalam merancang halatuju kerjaya dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran dalam dunia pekerjaan di samping memperkukuh kemahiran insaniah yang diperlukan dalam pasaran kerja masa kini.



Program dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada 50 peserta terawal sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan mereka terhadap penganjuran program ini.
Telah turut diadakan sesi cabutan bertuah kepada peserta bagi menambahkan lagi keceriaan dan keterlibatan dalam kalangan mereka semasa program.
Program diteruskan dengan ucapan aluan oleh pengarah program, Putri Dania Alisya binti Sayfudin dan seterusnya diikuti dengan perasmian rasmi oleh Prof. Madya Dr Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM, menandakan pembukaan program secara formal.



Dalam ucapan beliau, melalui program ini “Pelajar bukan sahaja mendapat pendedahan langsung mengenai pelbagai bidang kerjaya melalui perkongsian tokoh profesional, malah turut memahami kepelbagaian laluan dan cabaran dalam dunia pekerjaan. Jadi di sinilah platform yang sesuai pendedahan yang perlu dimanfaatkan oleh siswa siswi dengan sebaiknya.
Bermulanya sesi pengisian utama, Slot 1 menampilkan Puan Anis binti Zakariah, Alumni UPSI tahun 2013 yang kini berjaya mencipta nama dalam bidang profesional.
Dalam sesi perkongsian beliau, Puan Anis telah berkongsi pengalaman perjalanan kerjaya yang penuh inspirasi serta memberi motivasi kepada peserta agar terus berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam menempuh cabaran alam pekerjaan.
Slot ini diakhiri dengan penyampaian plak penghargaan kepada beliau sebagai tanda terima kasih atas perkongsian pengalaman dan nasihat yang diberikan, seterusnya diikuti sesi fotografi kenangan bersama para peserta dan ahli jawatankuasa program.
Program ini diserikan lagi dengan Slot 2 yang menampilkan Cik Elina Aisyah, Seorang pempengaruh media sosial yang telah berkongsi pandangan mengenai potensi media sosial sebagai platform pembangunan diri dan kerjaya masa kini.
Beliau turut mengendalikan aktiviti interaktif ringkas bagi meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi dalam kalangan peserta. Slot ini turut disempurnakan dengan penyampaian plak penghargaan dan sesi fotografi kenangan bersama penceramah.



Secara keseluruhannya, Program GRADGO: From Graduate to Greatness telah menjadi salah satu wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara alumni dan mahasiswa/i serta memupuk semangat yakin diri dalam kalangan graduan UPSI.
Tahniah diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa kerana telah berjaya menjayakan program ini. Inisiatif sebegini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam melahirkan graduan berdaya saing, berinovatif dan bersedia menempuh dunia kerjaya dengan penuh kehebatan selaras dengan slogan From Graduate to Greatness.
