Dr. Mohd Muslim Md Zalli & Muhammad Rais Mujahid Mohd Redzuan

MELAKA, 31 OKTOBER –  Bahagian Khidmat Pengurusan, Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dengan kerjasama Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJ), Melaka telah menganjurkan Bengkel Perwasitan Soalan Peperiksaan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia Tahun 2025 pada 29 hingga 31 Oktober lalu.

Bengkel ini bertujuan memberi latihan secara hands-on kepada penggubal soalan peperiksaan JPJ dari seluruh negara bagi memastikan kualiti, kesahan, dan kebolehpercayaan item peperiksaan jabatan mencapai standard yang tinggi dan selaras dengan keperluan sektor awam.

Melalui bengkel ini, peserta diberi pendedahan terhadap pendekatan perwasitan yang menekankan kesahan, kebolehpercayaan serta kesesuaian aras kesukaran soalan berdasarkan bidang tugas. Selain itu, bengkel ini berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu antara pakar akademik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pegawai JPJ dalam memperkukuh kualiti instrumen pentaksiran melibatkan aspek psikometrik dan aksesibiliti. Usaha ini turut memperkenalkan integrasi teknologi terkini melalui penggunaan Custom GPT yang dibangunkan khusus untuk JPJ, menjadikan proses penggubalan dan semakan soalan lebih efisien, konsisten dan berimpak tinggi terhadap sistem penilaian jabatan.

Menurut Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI, Profesor Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, inisiatif rundingan pakar bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini mencerminkan peranan universiti dalam menyumbang kepakaran secara langsung kepada agensi kerajaan. Beliau menegaskan kolaborasi strategik ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademia dan industri, tetapi juga memperkasa pembangunan modal insan melalui penerapan pengetahuan dalam bidang psikometrik dan pentaksiran di sektor awam.

“FPM sentiasa komited untuk menjadi rakan ilmu kepada pelbagai agensi bagi memastikan standard latihan dan penilaian awam terus mencapai tahap profesionalisme yang tinggi. Melalui kepakaran pensyarah kami, UPSI bersedia mendukung hasrat JPJ dalam memperkukuh sistem peperiksaan yang lebih objektif dan berasaskan data,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perunding Projek, Dr. Mohd Muslim Md Zalli, menjelaskan UPSI melalui pasukan perunding FPM telah membangunkan Custom GPT khas untuk JPJ bagi membantu proses perwasitan dan pembangunan soalan peperiksaan secara lebih sistematik serta sejajar dengan prinsip pentaksiran moden.

“Custom GPT ini dibangunkan oleh saya bersama Dr. Mohd Ridhuan dan Dr. Syaubari bagi menyokong pegawai JPJ menghasilkan item soalan yang sah, boleh dipercayai dan memenuhi keperluan tugas sebenar di lapangan,” jelas beliau. Dr. Muslim turut menzahirkan penghargaan kepada Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Melaka atas kepercayaan yang diberikan kepada UPSI untuk menjadi rakan strategik dalam projek ini. Beliau yakin usaha ini akan menjadi model kerjasama baharu antara universiti dan agensi kerajaan dalam memanfaatkan teknologi AI untuk mempertingkatkan kualiti penilaian sektor awam.  

Sepanjang bengkel tiga hari ini, pelbagai aktiviti dijalankan secara interaktif bagi memastikan peserta memperoleh pengalaman pembelajaran yang menyeluruh. Bengkel dimulakan dengan sesi pengenalan terhadap Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) yang memberi pemahaman mendalam tentang struktur dan objektif JSU bagi memastikan keselarasan kandungan serta aras kesukaran item soalan. Seterusnya, peserta terlibat dalam sesi pembangunan soalan menggunakan Custom GPT khas untuk JPJ, di mana pakar dari UPSI membimbing peserta menghasilkan item yang berkualiti dan sejajar dengan prinsip pentaksiran moden.

Bengkel turut menampilkan sesi perkongsian ilmiah oleh pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI, yang memberi tumpuan kepada aspek kesahan kandungan, kebolehpercayaan, dan analisis item.  Peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan mengikut bidang masing-masing dalam sesi pecahan kumpulan bidang, bagi membina dan menilai soalan sebenar berdasarkan standard perwasitan yang telah diterangkan. Bengkel diakhiri dengan sesi refleksi dan pembentangan hasil kerja kumpulan, di mana peserta menerima maklum balas daripada panel perunding dan pegawai kanan JPJ untuk penambahbaikan masa hadapan.

Bengkel ini memperlihatkan sinergi strategik antara JPJ Malaysia dan UPSI dalam memperkukuh aspek psikometrik, pentaksiran dan pengukuran di sektor awam. Melalui penglibatan pakar akademik dari FPM, UPSI, bengkel ini bukan sahaja berjaya meningkatkan profesionalisme pegawai JPJ dalam menggubal soalan yang sah dan boleh dipercayai, malah turut memperkenalkan inovasi teknologi seperti Custom GPT khas untuk JPJ sebagai alat bantu baharu dalam proses pembangunan item peperiksaan. Usaha ini membuktikan bahawa kepakaran UPSI terus relevan dan diperlukan oleh agensi kerajaan bagi menyokong agenda pembangunan sumber manusia negara.

Kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepada komitmen UPSI dalam memperkukuh peranan universiti sebagai rakan ilmu kepada agensi kerajaan, sejajar dengan aspirasi “Universiti untuk Masyarakat” dan semangat Malaysia MADANI.