Oleh: NUR ATIRAH HASSAN
Tanjong Malim, 29 Oktober 2025 – Pusat Islam dengan kerjasama Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan Program MIHRAB 2.0 bertempat di Masjid Al-Mursyidin bagi pelajar Muslim dan Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) bagi pelajar non-Muslim. Sesi kedua pula akan diadakan pada 5 November 2025 di Masjid Al-Mursyidin. Program ini dijalankan dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.



Program ini memberi peluang kepada para pelajar khususnya pelajar Semester 1 (A251) untuk mendalami nilai-nilai Islam dan kesejahteraan diri melalui pelbagai pengisian menarik seperti Modul Pusat Islam, Modul Pusat Kaunseling, Sesi Soal Selidik Penghayatan dan Ujian Kefahaman.



Menariknya, sesi kali ini turut menampilkan Prof. Madya Dr. Ahmad Zulfiqar Shah bin Abdul Hadi, Pensyarah Fakulti Sains dan Kemanusiaan, yang akan berkongsi ilmu berkenaan kesalahan yang biasa dilakukan semasa membaca Surah Al-Fatihah , satu perkongsian ilmu yang amat bermanfaat untuk memperbaiki dan memperindah bacaan solat harian.
Semoga pelaksanaan Program MIHRAB 2.0 ini menjadi wadah untuk memperkukuh jati diri, meningkatkan penghayatan rohani serta membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual, emosi dan spiritual.
