Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki

PUTRAJAYA, 16 November 2025 – Pasukan Pencak Silat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengukir sejarah apabila muncul Juara Keseluruhan acara Silat di Varsity Combat Sport 2025 yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya dari 12 hingga 16 November 2025.

Kejayaan ini menamatkan penantian sejak kemenangan terakhir UPSI sebagai Juara Keseluruhan pada MASUM 2022 di UMPSA Gambang.

UPSI mendominasi hampir sempurna apabila meraih 15 pingat daripada 16 kategori yang dipertandingkan, meliputi 5 emas, 4 perak dan 6 gangsa.

Antara kejayaan emas yang menyerlah termasuk Regu Putri, Kelas I Putra, Kelas E Putri, Kelas F Putra dan Kelas B Putri.

Pasukan ini dibimbing oleh dua jurulatih muda, Akimi Lotfi Aminudin dan Nur Azlin Syuhada Nor Ahmad Zamzuri, kedua-duanya penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan), UPSI.

Pendekatan latihan mereka menekankan integrasi sports science seperti strength & conditioning, analisis video, serta strategi pemulihan berasaskan prinsip fisiologi sukan moden.

Menurut jurulatih, kejayaan ini bukan sekadar hasil latihan berjadual, tetapi keberkesanan aplikasi ilmu sains sukan yang diaplikasikan secara konsisten.

“Kami memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang dipelajari di UPSI bagi memastikan atlet berada pada tahap kecergasan, ketepatan teknik dan ketajaman taktikal yang optimum,” ujar mereka.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan kemampuan UPSI sebagai institusi yang melahirkan atlet dan jurulatih berpengetahuan tinggi, profesional dan berpaksikan pendekatan saintifik.

Pencapaian ini turut menjadi pemangkin kepada usaha UPSI untuk terus muncul sebagai kuasa besar dalam arena silat peringkat IPT.

Pusat Sukan UPSI mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan gemilang ini yang pastinya akan terus memotivasikan kontinjen universiti untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.