Oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah dan Auni Aqilah Harifin
Tanjong Malim, 23 November 2025 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dengan kerjasama Jawatankuasa Penasihatan Akademik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Fakulti Sains dan Matematik (FSM) menganjurkan Program Jejak Prestasi sempena “Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics & Sustainability Fiesta 2025 (MIST’25)”.
Program dilaksanakan oleh jawatankuasa pensyarah yang diketuai oleh Dr. Ijlal Mohd Diah dengan kerjasama jawatankuasa pelajar yang diketuai oleh Auni Aqilah Harifin selaku pengarah program bersama bagi Program Jejak Prestasi.

Bertempat di Blok 1 Fakulti Sains dan Matematik, perasmian Program Jejak Prestasi disempurnakan oleh Dekan FSM, Prof. Dr. Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah.
Program ini bertujuan menyediakan platform interaksi di antara pensyarah selaku penasihat akademik, mahasiswa dan ibu bapa mahasiswa.
Menurut Prof. Dr. Mohd. Faizal, “Program yang menghimpunkan pensyarah bersama ibu bapa mahasiswa ini adalah kali kedua dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Matematik.
“Selepas menerima maklumbalas yang amat baik pada tahun lalu, fakulti teruja untuk meneruskan Jejak Prestasi dengan lebih meriah kerana kesannya bukan Sahaja kepada pelajar, tetapi kepada seluruh ekosistem fakulti dan institusi keluarga” ujar beliau lagi.
Di samping untuk merapatkan ukhuwah, program ini juga diharap dapat memupuk sinergi yang erat di antara pihak fakulti dan ibu bapa demi memastikan kemenjadian mahasiswa.
Seramai 21 ibu, bapa atau penjaga telah hadir bagi berbincang dengan Penasihat Akademik secara bersemuka, manakala 56 sesi dalam talian turut sama berlangsung pada masa yang sama.
Slot perkongsian akademik dan kaunseling pula turut diadakan dan telah dihadiri 237 pelajar FSM serta 5 Penasihat Akademik. Perkongsian dan tips telah disampaikan oleh dua penceramah jemputan iaitu Prof. Madya Dr. Faridah Lisa Supian dan Dr Pau Kee.

Perbincangan di antara penasihat akademik dan ibu bapa telah diadakan secara komprehensif memfokuskan kepada perkembangan akademik, penglibatan kokurikulum dan keaktifan mahasiswa.
Rata-rata ibu bapa yang hadir memberikan respon yang sangat positif serta menyambut baik usaha pihak fakulti yang memberi ruang kepada mereka untuk turut terlibat dalam usaha memastikan kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak mereka di UPSI. “Saya terharu dengan usaha yang telah dibuat oleh fakulti dan UPSI semata-mata memastikan anak saya cemerlang dari segenap segi” luah Puan Norezah Shahir ibu kepada Hilman Hafizi yang sanggup hadir dari Kemaman, Terengganu.
“Saya berharap agar Jejak Prestasi kekal menjadi acara tahunan kerana ia merupakan jambatan penghubung antara kami, keluarga dan pensyarah” ujar Auni Aqilah yang juga merupakan pengarah program Jejak Prestasi FSM 2025.
