Oleh : Nur Syuhada Zahar Nordin dan Amiratul Balqis All Ashari

KUALA LUMPUR, 22 November 2025 – Suasana di sekitar Chow Kit bertukar lebih ceria apabila Program “Chow Kit Care: Dari Tangan ke Hati” anjuran Exco Kesukarelawanan Manusia, Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) UPSI berlangsung dengan penuh jayanya dengan kerjasama Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh (STNQ).

Program ini membawa misi murni untuk membantu golongan gelandangan melalui penyediaan bantuan asas, sokongan komuniti, serta intervensi awal bagi meningkatkan kesejahteraan hidup dan keyakinan diri mereka.

Ketua Felo Unit Kediaman Luar Kampus UPSI, Puan Nor Hayati binti Aziz.
Pengurus Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh, Puan Nor Akmar Binti Ali.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Felo Unit Kediaman Luar Kampus UPSI, Nor Hayati Aziz. Dalam ucapan penuh inspirasi, beliau menegaskan bahawa majoriti mahasiswa UPSI merupakan bakal pendidik dan perlu bersedia berhadapan pelbagai realiti masyarakat.

“Program sebegini sangat penting kerana ia mendidik mahasiswa untuk lebih peka, tidak terkejut budaya, dan memahami situasi sebenar komuniti yang akan mereka hadapi sebagai guru satu hari nanti. Kami amat berterima kasih kerana pihak STNQ sudi menerima kunjungan kami.” ujar beliau.

Turut memberi ucapan ialah Pengurus Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh, Nor Akmar Ali, yang menyambut baik kehadiran mahasiswa UPSI.

Slot menggunting rambut residen lelaki.
Aktiviti manicure bersama residen wanita.
Aktiviti Bowling bersama residen Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh (STNQ).

Usaha untuk membawa golongan gelandangan keluar daripada kelompok mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Kehadiran mahasiswa UPSI sangat kami hargai kerana ia menunjukkan kepedulian dan komitmen untuk memahami cabaran komuniti ini secara dekat. katanya.

Sepanjang program berlangsung, para residen terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh mahasiswa UPSI. Antara aktiviti yang paling mencuri perhatian ialah slot gunting rambut, di mana mahasiswa menjadi sukarelawan untuk menggunting rambut residen lelaki.

Program juga dimeriahkan dengan aktiviti luar bermain bola bowling bersama residen, yang membantu mengeratkan hubungan dan mencipta suasana yang lebih santai serta menyeronokkan.

Sumbangan pakaian kepada residen untuk kegunaan harian mereka.
Warga UKLK mengedarkan makanan dan bantuan asas kepada komuniti gelandangan di Chow Kit.
Warga UKLK mengedarkan makanan dan bantuan asas kepada komuniti gelandangan di Chow Kit.

Aktiviti sumbangan pakaian turut dijalankan, di mana residen menerima pelbagai pakaian baharu dan terpakai yang masih elok untuk kegunaan harian mereka.

Aktiviti diteruskan dengan pengedaran makanan, bantuan asas, kit kebersihan diri, serta sesi interaksi bersama gelandangan untuk mendengar keperluan, kisah hidup dan cabaran yang mereka hadapi.

Pendekatan secara menyeluruh ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk melihat sendiri realiti kehidupan golongan gelandangan, selain memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna.

Beberapa residen turut berkongsi pengalaman hidup mereka yang penuh cabaran.

“Saya sangat bersyukur dengan kehadiran adik-adik mahasiswa hari ini. Bukan semua orang sanggup datang dan meluangkan masa untuk kami. Selalunya, orang hanya pandang dari jauh. Bila ada yang sudi berbual, ada yang potongkan rambut, ada yang tanya khabar… benda kecil macam tu sebenarnya besar maknanya pada kami. Buat saya rasa tak keseorangan.” ujar beliau.

Bagi mahasiswa UPSI yang terlibat, program ini menjadi medan untuk memupuk empati, rasa tanggungjawab sosial serta semangat kesukarelawanan.

Mereka juga dapat membina kemahiran komunikasi, pengurusan komuniti dan kepekaan terhadap isu kemanusiaan dan nilai penting bagi bakal pendidik.

Kejayaan program “Chow Kit Care: Dari Tangan ke Hati” membuktikan bahawa kolaborasi antara universiti dan komuniti mampu memberikan impak besar terhadap masyarakat.

Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), antaranya SDG 1: Pembasmian Kemiskinan dengan melalui pemberian bantuan asas dan sokongan intervensi awal, SDG 2: Sifar Kelaparan melalui pengedaran makanan berkhasiat kepada golongan gelandangan dan juga SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat melalui kerjasama strategik antara UPSI, STNQ dan pelbagai pihak lain.

Golongan gelandangan di kawasan ini terdiri daripada individu yang kehilangan pekerjaan, terputus hubungan keluarga atau terkesan oleh krisis sosioekonomi.

Bantuan yang diberikan bukan sahaja meringankan beban mereka, tetapi juga dapat mengurangkan jurang ekonomi dan sosial dalam komuniti bandar.

Dengan kejayaan penganjuran ini, diharapkan lebih banyak program seumpama dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan berdaya belas.