Oleh: Sasigaran Moneyam dan Prof. Madya Dr. Nurul’Ain Mohd Daud
Singapura, 21 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melakar pencapaian baharu di peringkat antarabangsa apabila diterima secara rasmi sebagai ahli Intercontinental Alliance for Integrated Care (IAIC), sebuah inisiatif global yang dipimpin oleh Singapore University of Social Sciences (SUSS).
Pengumuman ini dibuat semasa Majlis Makan Malam Gala IAIC di Hotel Conrad, Singapura pada 21 November lalu, di mana UPSI diumumkan sebagai salah satu daripada tujuh rakan strategik baharu bagi tahun 2025 bersama institusi ternama dari Estonia, Jepun, Korea Selatan, dan India.


Bertemakan “Beyond Borders, Beyond Age: Shaping Tomorrow’s Tapestry of Integrated Care”, perikatan ini bertujuan membentuk sistem penjagaan yang melangkaui sempadan geografi dan generasi, di mana UPSI bakal memainkan peranan penting dengan menyertai kajian rentas wilayah bermula tahun 2026 untuk memperkukuh pembelajaran silang budaya dalam penjagaan warga emas.
Majlis berprestij tersebut diserikan dengan kehadiran Canselor SUSS yang juga mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, sebagai tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penuaan bukanlah beban yang perlu diuruskan, sebaliknya merupakan fasa kehidupan yang wajar dihormati dan disokong agar setiap individu kekal mempunyai nilai serta rasa kepunyaan.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Presiden SUSS, Profesor Tan Tai Yong, yang menegaskan bahawa sistem penjagaan bersepadu mestilah bersifat fleksibel, inklusif, dan mengutamakan maruah manusia.
Perikatan ini turut meraikan pelbagai aktiviti pengisian ilmu, termasuk lawatan lapangan ke pusat komuniti dan pertunjukan fesyen “Tapestry of Style” yang menggabungkan kreativiti warga emas dan pelajar, membuktikan komitmen IAIC terhadap kolaborasi antara generasi.



Dalam persidangan tersebut, UPSI diwakili oleh delegasi yang terdiri daripada Encik Sasigaran Moneyam dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi serta Prof. Madya Dr. Nurul’Ain Mohd Daud dari Fakulti Pembangunan Manusia.
Keahlian baharu UPSI dan enam institusi lain, termasuk Jeonbuk National University dan Teikyo University, telah dirasmikan melalui upacara simbolik cap tangan.
Persidangan IAIC 2025 kemudiannya melabuhkan tirai dengan upacara penyerahan tugas penganjuran kepada Royal Holloway, University of London bagi tahun 2026, menandakan kesinambungan usaha perikatan ini untuk terus memacu agenda penjagaan bersepadu melangkaui sempadan.
