Oleh: MOHAMAD AFIQ DANIAL MOHD FIRDAUS CHUA dan HARESH RAMAN

IPOH, 12 Februari 2026 – Kerajaan Negeri Perak mencatat satu lagi perkembangan penting dalam sektor pendidikan tinggi menerusi penubuhan Majlis Institusi Pendidikan Tinggi (MIPT) Perak Darul Ridzuan, yang berperanan sebagai platform penyelarasan serta kerjasama strategik melibatkan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini.

Penubuhan majlis berkenaan bertujuan memperkukuh sinergi antara IPT, kerajaan negeri, industri dan komuniti dalam menyokong pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta agenda pembangunan sosioekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Dato’ Khairudin Abu Hanipah berkata, MIPT akan berfungsi sebagai badan penasihat dan pelaksana pelbagai program strategik pendidikan tinggi negeri sejajar dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurut beliau, inisiatif itu juga selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 yang menekankan aspek pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, TVET, keusahawanan serta pengukuhan kolaborasi strategik.

“Penubuhan MIPT membolehkan agenda pendidikan tinggi negeri dilaksanakan secara lebih tersusun, berfokus dan berimpak tinggi, selain memperkukuh peranan IPT dalam pembangunan negeri,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dato’ Md Amin Md Taff yang diberikan mandat menerajui MIPT, menyifatkan penubuhan majlis itu sebagai langkah tepat dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi di Perak.

Beliau berkata, MIPT akan menjadi entiti sokongan strategik kepada kerajaan negeri dalam memperluas jaringan kerjasama akademik, penyelidikan, pembangunan komuniti dan modal insan.

Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Khairudin atas kepercayaan yang diberikan dalam merealisasikan penubuhan majlis tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat MIPT, Sasigaran Moneyam berkata, MIPT berperanan sebagai badan perundingan kerajaan negeri dalam hal ehwal pendidikan tinggi selain menyediakan platform kolaboratif antara IPT, industri, agensi kerajaan dan komuniti.

“Pendekatan kolektif ini membolehkan perkongsian kepakaran, sumber dan kekuatan secara lebih bersepadu, sekali gus meningkatkan daya saing pendidikan tinggi serta kebolehpasaran graduan,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan MIPT juga diyakini mampu memperkukuh kedudukan Perak sebagai perintis model tadbir urus pendidikan tinggi bersepadu di peringkat negeri.