Warga UPSI dan komuniti Kampung Simpang Empat
Oleh: Dr. Nurul Aini Mehat, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail
TANJONG MALIM, 19 Nov 2025 – Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Perak, Low Carbon Education & Recycle Research Centre (LCERC-FSK) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah melaksanakan Projek Inovasi Kitar Semula Bersama Komuniti Daerah Muallim, Perak melibatkan lima kampung iaitu Kampung Ketoyong, Kampung Simpang Empat, Kampung Lubuk Salak, Kampung Kelawar dan Kampung Kurnia.
Pelaksanaan program ini merupakan kesinambungan Peringkat Ketiga Community Recycling Project – Plastic Waste to Fuel, yang menggabungkan elemen inovasi, pendidikan komuniti dan aktiviti lapangan. Program ini turut melibatkan pelajar-pelajar VFSK4U, pelajar Kursus Kaji Iklim dan pelajar Kelestarian Perancangan dan Pembangunan Ruang.


Aktiviti pembersihan, pengutipan sampah dan pengumpulan bahan kitar semula dilaksanakan oleh para pelajar yang bertindak sebagai Rakan Alam Sekitar bersama-sama komuniti setempat. Seramai enam orang pensyarah FSK turut terlibat dalam penyelarasan dan pemantauan aktiviti bagi memastikan kelancaran serta keberkesanan keseluruhan program.


Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah gotong-royong pembersihan kawasan, kutipan bahan kitar semula seperti kertas, tin, penutup botol, serta pengasingan sisa plastik secara serentak di kelima-lima kampung tersebut. Barang-barang kitar semula yang telah diasingkan, akan ditimbang dan terus dibawa ke pusat kitar semula. Aktiviti ini turut disertai oleh penduduk kampung dan semua ketua kampung turut turun padang menyokong usaha UPSI dalam memperkukuh pembangunan komuniti berasaskan kelestarian.


“Penyertaan ketua kampung, penduduk, pensyarah dan para pelajar menunjukkan komitmen bersama dalam memelihara alam sekitar. Inovasi yang diperkenalkan, digabungkan dengan semangat gotong-royong, membuktikan bahawa pendidikan, tindakan dan kerjasama komuniti mampu membawa perubahan yang bermakna,” kata Dekan FSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa.


Pengarah Program Recycle and Low Carbon @ Community 2025, Dr Nurzaimah Asalal menyatakan rasa penghargaan atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini. Beliau turut mengatakan bahawa inisiatif kitar semula ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah membentuk kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat. Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap isu kelestarian.
Menurut Dr. Nurul Aini Mehat, selaku Pengarah Projek Inovasi Kitar Semula Bersama Komuniti, beliau menegaskan bahawa kejayaan program ini sangat bergantung kepada keterlibatan semua pihak serta komitmen tinggi yang diberikan.
“Usaha menempatkan tong kitar semula sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan komuniti. Melalui aktiviti mengutip sampah, latihan pengasingan sisa dan penerangan mengenai amalan hijau, kita dapat memupuk budaya kelestarian yang dipimpin oleh komuniti sendiri. Penglibatan pelajar serta enam orang pensyarah FSK yang membimbing mereka memberi nilai tambah besar kepada program ini. Kami berharap kerjasama ini menjadi model rujukan untuk diperluaskan ke kampung-kampung lain,” ujarnya.

Penduduk kampung turut melahirkan rasa gembira dengan penyediaan tong kitar semula dan pelaksanaan gotong-royong tersebut, selain menyatakan bahawa program ini telah meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan komuniti.
“Bagi pihak penduduk kampung, saya mengucapkan terima kasih kepada UPSI kerana membawa program kitar semula ini kepada kami. Ia bukan sahaja membantu menguruskan sisa dengan lebih teratur, tetapi turut meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab menjaga kebersihan. Kami menyokong penuh usaha seperti ini,” kata Ketua Kampung Kurnia.
Program ini secara langsung memperkukuh jaringan UPSI bersama masyarakat dan menyokong agenda nasional dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan, inovasi dan tindakan kolektif, demi membina persekitaran yang lebih lestari pada masa hadapan.
