Oleh: Dr Nurul Aini Mehat, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Dr Mohamad Ihsan Muhamad Ismail
TANJONG MALIM, 19 Nov 2025 – Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Perak, Low Carbon Education & Recycle Research Centre (LCERC-FSK) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah melaksanakan Projek Inovasi Kitar Semula Bersama Komuniti Daerah Muallim, Perak melibatkan lima kampung iaitu Kampung Ketoyong, Kampung Simpang Empat, Kampung Lubuk Salak, Kampung Kelawar dan Kampung Kurnia.


Projek ini merupakan fasa ketiga pelaksanaan Community Recycling Project – Plastic Waste to Fuel. Seramai 35 pelajar Kursus Kaji Iklim, Jabatan Geografi, FSK di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Dr. Mohamad Ihsan bin Muhamad Ismail terlibat secara aktif dalam projek ini. Mereka berjaya menyiapkan lima inovasi tong kitar semula untuk disumbangkan kepada kampung-kampung terlibat sebagai usaha meningkatkan pengurusan sisa komuniti secara lebih teratur dan berkesan.


FSK turut memperkenalkan inovasi tong kitar semula yang dibina sepenuhnya menggunakan bahan terpakai sebagai pendekatan kos efektif bagi membantu komuniti menguruskan sisa plastik secara lebih tersusun, sistematik dan mampan.
Dekan FSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, berkata projek ini membuktikan komitmen UPSI dalam menyokong agenda kelestarian negara melalui pendekatan pendidikan berasaskan komuniti.
“Inovasi tong kitar semula yang dibangunkan bukan sahaja menggalakkan amalan hijau, malah menjadi simbol kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar. Saya amat berbangga dengan kerjasama erat antara universiti dan komuniti yang menunjukkan bahawa perubahan mampu berlaku apabila ilmu dan tindakan digerakkan seiring,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap usaha komited dua pensyarah terlibat bersama para pelajar dalam memastikan projek inovasi ini dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Pengarah Program, Dr. Nurul Aini Mehat, turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung atas sokongan sepanjang pelaksanaan projek.
“Keberhasilan projek ini tidak hanya bergantung pada inovasi yang dihasilkan, tetapi juga kepada kesediaan komuniti untuk terlibat secara aktif. Aktiviti pengumpulan dan pengasingan sisa plastik serta demonstrasi inovasi membuktikan bahawa komuniti mampu menjadi ejen perubahan. Kami berharap inisiatif ini menjadi model rujukan dan terus berkembang demi manfaat generasi akan datang,” katanya.
Para pelajar menyatakan rasa teruja kerana berpeluang menyumbang kepada masyarakat melalui penghasilan tong kitar semula, manakala penduduk kampung menyambut baik sumbangan tersebut dan berharap ia dapat meningkatkan tahap kebersihan serta memupuk amalan kelestarian alam sekitar di kawasan mereka.



Projek ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat, malah membuka ruang kepada penciptaan ilmu baharu melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan inovasi komuniti setempat. UPSI berharap usaha sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi memperkasa komuniti dalam memelihara kelestarian alam sekitar secara berterusan.
