Oleh: Ainnur Shazleen

TANJONG MALIM, 2 Disember 2025International Postgraduate Colloquium (IPAC) 2025 anjuran Institut Pengajian Siswazah (IPS) dengan kerjasama Persatuan Pengajian Siswazah (PPS) sekali lagi menjadi platform penting dalam memperkasa budaya penyelidikan dan penerbitan pelajar pengajian siswazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penganjuran IPAC tahun ini berjaya menarik 51 artikel daripada pelbagai institusi termasuk universiti awam, politeknik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Institut Pendidikan Guru (IPG) serta institusi pendidikan lain.

Sesi pembentangan selari berlangsung pada sebelah pagi dijalankan secara dalam talian dan secara bersemuka di Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Pembentangan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk menerima maklum balas konstruktif daripada panel penilai luar bagi meningkatkan mutu penyelidikan masing-masing.

Majlis Penutup IPAC 2025 kemudiannya disempurnakan oleh Dekan IPS, Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun, menandakan berakhirnya keseluruhan kolokium berkenaan. 

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran IPAC sejak 2021 bertujuan membantu meningkatkan kualiti penulisan dan penyelidikan pelajar melalui maklum balas panel luar.

“Kami berharap dengan adanya penilai luar selain penyelia akademik, ia dapat membantu menambah baik tesis anda dan seterusnya meningkatkan peluang untuk memperoleh sekurang-kurangnya hanya pembetulan minor ketika viva,” katanya.

Sementara itu, majlis penutup turut diserikan dengan sesi ucaptama oleh Pemangku Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, bertemakan “Empowering Knowledge, Advancing Research for a Sustainable Future”.

Beliau menekankan bahawa penguasaan menyeluruh terhadap kajian adalah aspek penting bagi setiap penyelidik agar memahami intipati penyelidikan dengan lebih mendalam.

“Penguasaan mendalam terhadap kajian yang dijalankan adalah amat penting,” tegasnya.

Majlis yang dihadiri lebih 100 peserta dari pelbagai institusi memenuhi Dewan Konvensyen Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Penganjuran IPAC 2025 terus membuktikan komitmen UPSI dalam menyediakan platform berimpak tinggi bagi memperkukuh kualiti penyelidikan, penerbitan dan pembentangan dalam kalangan pelajar pasca siswazah.