Gambar bersama MMK KUO & PPIKGambar bersama MMK KUO & PPIK

Oleh: Adib Irfan Jaffri dan Nursafiah Balqis Wahid

Tanjong Malim, 30 November 2025 — Program “KUO NextGen Leadersphere: Connect, Grow, Lead” anjuran Majlis Tertinggi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sekali lagi melakar pencapaian bermakna apabila berjaya menghimpunkan dua organisasi mahasiswa tersohor bagi mengangkat agenda kepimpinan mahasiswa ke tahap yang lebih strategik, progresif dan berimpak tinggi.

Sebagai platform interaksi dua hala antara MMK Kolej Ungku Omar dan Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), program berprestij ini membuka ruang luas kepada pertukaran idea, perbandingan struktur organisasi, serta percambahan pemikiran yang konstruktif dalam usaha memperkukuh landskap kepimpinan mahasiswa di kedua-dua institusi.

Slot Ice Breaking
Slot Lawatan Ilmu
Sesi Brainstorm Organisasi

Berlangsung selama tiga hari, bermula 27 hingga 29 November 2025, program ini berjaya mengumpulkan seramai 72 pemimpin mahasiswa daripada KUO dan delegasi USM, menjadikannya antara kolaborasi mahasiswa terbesar bagi sesi 2025/2026.

Mengangkat tema “Connect, Grow, Lead”, program ini memberi tumpuan kepada pembinaan kepimpinan holistik melalui sesi dialog dua hala, pembentangan organisasi dan aktiviti kolaboratif yang mencabar minda serta memperkukuh jaringan kepimpinan masa hadapan.

Aktiviti Kayak di Tasik Marina, UPSI
Sesi Explorace

Dalam ucapan aluan penuh wibawa, En. Muhamad Hafiz Abd Manap menegaskan bahawa kepimpinan mahasiswa tidak harus terbatas kepada pengurusan dalaman organisasi semata-mata, sebaliknya menuntut keupayaan untuk berkolaborasi dengan rakan-rakan daripada pelbagai institusi. Beliau menyatakan bahawa kerjasama antara KUO dan PPIP USM merupakan bukti kematangan kedua-dua pihak dalam meneroka idea baharu, berkongsi kekuatan serta memahami pendekatan kepimpinan yang pelbagai—sekali gus menjadi batu loncatan ke arah pembentukan pemimpin berkaliber tinggi.

Program ini turut diserikan dengan sesi brainstorming antara kedua-dua organisasi, yang menampilkan pendedahan terhadap strategi, pendekatan dan mekanisme pengurusan masing-masing—asas penting yang mendorong keberkesanan dan kejayaan operasi organisasi mereka.

Penasihat Utama Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan USM, Dr. Mohamad Khairul Anuar Mohd Rosli, menekankan bahawa sesi penanda aras seperti ini merupakan platform strategik yang bernilai tinggi dalam memperkukuh kerjasama institusi, mempertingkat amalan terbaik serta menyelaras hala tuju pembangunan kepimpinan mahasiswa.

Ucapan En. Muhamad Hafiz Abd Manap, Penolong Pegawai Tadbir Kolej Ungku Omar
Ucapan Dr. Mohamad Khairul Anuar Bin Mohd Rosli, Penasihat Utama PPIK, USM

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas peluang berkongsi pandangan, pengalaman dan strategi pengurusan mahasiswa, seiring usaha membentuk pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Dengan berakhirnya program ini, besar harapan agar kedua-dua organisasi dapat memanfaatkan sepenuhnya pertukaran ilmu, amalan terbaik dan strategi kepimpinan yang telah dibincangkan. Kolaborasi antara UPSI dan USM diharapkan dapat terus diperkukuh, sekali gus memupuk jaringan kerjasama yang lebih erat serta melahirkan organisasi mahasiswa yang lebih sistematik, berdaya saing dan berkesan dalam mendepani cabaran masa depan.