THAILAND – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited memperkukuh agenda pengantarabangsaan institusi menerusi pelaksanaan lawatan akademik ke Kolej Vokasional Nawawit dan Sekolah Salihiyah, Pattani, Selatan Thailand pada 15 Disember 2025.

Lawatan ini melibatkan delegasi UPSI yang diketuai oleh Pengarah Akademik dan Antarabangsa yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus.

Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama akademik sedia ada, di samping meneroka peluang baharu dalam pembangunan pendidikan, perkongsian kepakaran serta peluasan jaringan pendidikan di peringkat serantau, khususnya antara institusi pendidikan Malaysia–Thailand.

Sepanjang lawatan, delegasi UPSI telah disambut mesra oleh Pengetua Sekolah Salihiyah, Dr. Abdullah Yeelah, dalam satu sesi pertemuan rasmi yang merangkumi pembentangan profil institusi, perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan akademik dan pedagogi, serta perbincangan dua hala berkaitan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Menurut Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, lawatan ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperluas peranan sebagai peneraju pendidikan guru dan pembangunan akademik di peringkat antarabangsa.

“UPSI melihat kerjasama strategik seperti ini sebagai platform penting untuk perkongsian ilmu, pemindahan kepakaran dan pengukuhan kualiti pendidikan merentas sempadan. Institusi pendidikan di Pattani mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya dalam konteks pendidikan berteraskan nilai, budaya dan komuniti, yang wajar dipelajari serta dikembangkan bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UPSI bersedia memainkan peranan sokongan dalam pembangunan sekolah dan institusi rakan strategik, khususnya dalam aspek pedagogi moden, pengurusan akademik berkesan serta peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Melalui kerjasama ini, UPSI bukan sahaja berkongsi kepakaran akademik, malah membuka ruang kepada mobiliti akademik, lawatan balas, serta kolaborasi jangka panjang yang memberi manfaat bersama kepada pelajar, pendidik dan institusi,” tambah beliau.

Antara hasil utama lawatan ini ialah persetujuan awal ke arah pelaksanaan lawatan balas, perkongsian kepakaran akademik dan profesional, serta sokongan pembangunan sekolah khususnya dalam aspek latihan guru, inovasi pedagogi dan pengurusan kurikulum.

Kerjasama ini diharapkan dapat memberikan impak berterusan kepada kedua-dua pihak dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan, memperkukuh jaringan antarabangsa serta menyokong aspirasi pengantarabangsaan UPSI sebagai universiti pendidikan bertaraf global.