Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 19 Mei — Pendidikan tinggi negara perlu melalui proses transformasi menyeluruh dan tidak boleh kekal statik dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks.

Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden berkata perubahan pesat teknologi serta keperluan generasi masa kini menuntut pendidikan tinggi agar bersifat anjal, responsif dan inklusif serta tidak lagi terikat dengan pendekatan konvensional semata-mata.

“Dalam dunia yang semakin kompleks ini, pendidikan tinggi tidak boleh statik. Kita tidak boleh lagi hanya menawarkan program akademik bersifat konvensional tanpa melihat kepada kesesuaiannya dengan realiti semasa.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Seminar kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD’25) di Dewan Muallim, Hotel Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.

Seminar yang bertemakan Transformasi Program Akademik Dalam Menghadapi Cabaran Generasi Alpha itu menghimpunkan ahli serta tokoh akademik dan  industri bagi membincangkan hala tuju program akademik yang lebih responsif, inklusif dan mampan.

Azidah berkata, Revolusi Industri 5.0 telah membawa perubahan ketara dalam ekosistem pendidikan apabila teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bukan sahaja mempengaruhi cara hidup, malah menuntut integrasi nilai kemanusiaan bersama inovasi teknologi.

Beliau berkata, Generasi Alpha iaitu generasi yang lahir selepas 2010 merupakan kumpulan pertama yang membesar sepenuhnya dalam persekitaran digital dan mempunyai keperluan serta gaya pembelajaran yang berbeza berbanding generasi sebelumnya.

“Mereka bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mengharapkan pembelajaran yang pantas, visual dan imersif. Cabaran besar menanti kita bagaimana untuk membangunkan program akademik yang bukan sahaja menarik minat mereka, tetapi juga membentuk pemikiran kritis, etika dan daya tahan mereka.

Menurutnya, perubahan kurikulum perlu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, industri, pembuat dasar dan pelajar kerana pembangunan program akademik hari ini adalah asas kepada pembentukan masa depan negara.

“Saya percaya bahawa perubahan kurikulum bukan sekadar kerja akademik, tetapi ia adalah tanggungjawab nasional. Kita sedang menyediakan masa depan negara melalui bilik kuliah, makmal dan tutorial hari ini,” ujar beliau.

Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden ketika berucap merasmikan Seminar kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD’25) di Dewan Muallim, Hotel Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
 
Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff semasa menyampaikan ucapan aluan sempena Seminar kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD’25) di Dewan Muallim, Hotel Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata sistem pendidikan tinggi mesti menjalani transformasi radikal dan menyeluruh bagi membentuk graduan yang bersedia menghadapi cabaran era baharu.

“Kita kini berhadapan dengan Generasi Alpha, satu generasi yang lahir dalam dunia digital, membesar dengan skrin dan algoritma. Mereka tidak hanya mencari ilmu, mereka mencari pengalaman, kefahaman global dan kesediaan kerjaya yang berakar pada fleksibiliti.

Beliau berkata gaya pembelajaran generasi ini bersifat visual, interaktif dan pantas serta berorientasikan tindakan dan penciptaan, bukan sekadar penghafalan fakta.

“Mereka belajar bukan hanya untuk tahu, tetapi untuk bertindak, mencipta dan mengubah dunia. Mereka tidak mahu hanya sekeping sijil, mereka mahukan kemahiran masa depan, pengalaman dunia sebenar dan nilai yang lestari dengan pantas.

Sehubungan itu, Md Amin berkata program akademik tidak boleh lagi kekal dalam kerangka lama, sebaliknya perlu berubah dari segi kurikulum, pedagogi dan penilaian secara menyeluruh dan strategik.

“Teknologi perlu dianggap sebagai rakan, bukan gangguan. Industri pula perlu menjadi rakan kongsi, bukan sekadar penaja dan yang paling penting, pelajar mesti dilihat sebagai peneraju proses pembelajaran, bukan sekadar penerima maklumat,” katanya.

Majlis ini juga menyaksikan sesi ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran serta forum SEPAKAD’25 yang disampaikan oleh Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Dr. Dzulkifli Abdul Razak; Datuk Profesor Emerita Dr. Asma Ismail; Datuk Satinah Syed Saleh.

Seminar anjuran Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) UPSI dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS) UPSI dan Pusat Pembangunan Akademik (PPA) UPSI ini menjadi medan strategik yang signifikan dalam memacu masa depan pendidikan tinggi negara.

Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyampaikan cenderamata kepada Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden pada majlis Seminar kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD’25) di Dewan Muallim, Hotel Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD’25) di Dewan Muallim, Hotel Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Turut hadir Pengerusi SEPAKAD’25, Suhaila Sidek; Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Penasihat Undang-Undang UPSI, Salwati Mohd Aris; Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad.