Oleh: Muhamad Aidill Adha Zulies
Tanjung Malim, 13 Disember 2025 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Aktiviti Recycle Quiz sempena Karnival Alam Sekitar UPSI 2025 yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kemanusiaan. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan warga kampus terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar serta amalan kitar semula melalui pendekatan pendidikan yang santai dan interaktif.


Aktiviti Recycle Quiz dilaksanakan dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula sebagai elemen utama permainan seperti kotak terpakai, botol plastik, straw, tin dan bahan kertas. Pihak penganjur telah menghasilkan sebuah spin wheel kreatif menggunakan kotak kitar semula yang memaparkan pelbagai kategori bahan buangan. Setiap peserta yang hadir ke booth dikehendaki memutarkan spin wheel tersebut dan menjawab soalan kuiz berdasarkan kategori bahan kitar semula yang terpilih.
Soalan kuiz telah dibahagikan mengikut tahap kesukaran bagi memastikan penglibatan peserta yang lebih seimbang dan mencabar, iaitu soalan mudah bagi kategori plastik dan tin, soalan sederhana bagi kategori kertas, serta soalan sukar bagi kategori kaca. Bayaran penyertaan yang dikenakan hanyalah sebanyak RM1.00 bagi setiap penyertaan sebagai simbol sokongan terhadap aktiviti kesedaran alam sekitar.


Program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta. Sasaran awal seramai 30 orang peserta bukan sahaja berjaya dicapai, malah melebihi jangkaan, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan interaktif yang digunakan dalam menarik minat masyarakat kampus terhadap isu kelestarian alam sekitar.


Dalam masa yang sama, program ini turut menjadi wadah untuk menyemai nilai keprihatinan kemanusiaan apabila pihak penganjur menzahirkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin dan Sudan, sekali gus mendidik peserta agar cakna bukan sahaja terhadap pemeliharaan alam sekitar, malah terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Program Karnival Alam Sekitar UPSI 2025 – Recycle Quiz telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan kepentingan kitar semula, malah turut menyemai sikap bertanggungjawab dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan peserta. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan ke arah pembentukan kampus yang lestari dan mesra alam.
