Oleh: Siti Nursaila binti Alias, Mohd Faudzi Umar dan Anis Nazihah Mat Daud
Tanjong Malim – 18 Disember 2025: Seminar Pendidikan Fizik Kebangsaan (SPFK) 2025 berlangsung dengan bertemakan “Transformasi Pendidikan Fizik Mendepani Cabaran Masa Kini”. SPFK 2025 dijalankan secara dalam talian dengan penyertaan seramai 102 orang pendidik fizik dari seluruh Malaysia. Seminar ini menjadi platform utama untuk berkongsi idea, dapatan penyelidikan, inovasi pedagogi serta amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Fizik.
Perjalanan SPFK 2025 dibuka dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa yang memberi makna kebangsaan kepada seluruh perjalanan seminar. Ucapan Pengerusi SPFK 2025 oleh Dr. Anis Diyana Halim menekankan bahawa seminar ini adalah medium memperkukuh jaringan profesional, meningkatkan kompetensi pendidik dan memacu transformasi pendidikan Fizik berasaskan bukti.

Sorotan utama termasuk ucapan aluan Carl Wieman, pemenang Hadiah Nobel Fizik 2001 dan pengasas platform simulasi PhET. Carl Wieman menekankan kepentingan pedagogi aktif dan simulasi interaktif untuk memperdalam pemahaman konsep Fizik secara bermakna. Beliau menyeru pendidik untuk mengaplikasikan pendekatan berasaskan bukti dalam PdP bagi mencapai pembelajaran yang berkesan.

Ucapan pembukaan diteruskan oleh Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah S.I.S, Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI menegaskan kepentingan sinergi antara penyelidikan, inovasi pedagogi dan pembangunan profesional guru. Seminar kemudian dirasmikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI yang menyeru pendidik bersedia menghadapi cabaran pendidikan yang semakin kompleks melalui pendekatan pengajaran yang fleksibel, reflektif, dan berimpak tinggi.


SPFK 2025 diteruskan dengan kehadiran tiga orang pengucaptama yang telah menyampaikan perspektif serta panduan praktikal dalam bidang masing-masing.

Dr. Rusmini Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), telah membincangkan transformasi pendidikan STEM dalam konteks Dunia BANI, merangkumi isu enrolmen murid, literasi saintifik serta pencapaian Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS, PISA dan SEA-PLM. Beliau menegaskan keperluan terhadap transformasi sistemik yang melibatkan kurikulum, pedagogi dan pentaksiran Fizik agar lebih relevan, berdaya tahan serta berpaksikan keperluan masa hadapan.

Profesor Madya Dr. Mohd Ali Samsudin dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula menyorot peranan digitalisasi dan kecerdasan buatan dalam pengajaran dan pembelajaran Fizik. Beliau menekankan bahawa teknologi serta simulasi digital perlu dimanfaatkan secara optimum sebagai alat pedagogi bagi menyokong pemahaman konsep dan pembelajaran yang lebih bermakna.

Sementara itu, Profesor Madya Ts. Dr. Shahrul Kadri Ayop dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membincangkan pembelajaran gelombang dengan menekankan kepentingan penguasaan konsep asas Fizik secara mendalam sebagai asas kepada pembelajaran yang bermakna dan berkualiti.

Sesi selari pembentangan kertas kerja inovasi dan umum menjadi nadi intelektual SPFK 2025. Para peserta berkongsi dapatan penyelidikan, inovasi PdP dan amalan terbaik yang merangkumi pedagogi berasaskan inkuiri, Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL), penggunaan simulasi, teknologi digital dan pentaksiran autentik. Sesi ini memperkukuh budaya perkongsian ilmu dan refleksi profesional dalam kalangan pendidik Fizik.
Pada sebelah petang, sesi bengkel memberi fokus kepada aplikasi praktikal dan pendekatan hands-on dalam PdP Fizik. Bengkel-bengkel ini memperkasakan pendidik dengan kemahiran dan strategi yang boleh diaplikasikan terus dalam bilik darjah dan institusi pendidikan.
Penganjuran SPFK 2025 disokong sepenuhnya oleh Jawatankuasa (JK) yang terdiri daripada akademia Fizik, staf sokongan Fizik dan pelajar-pelajar Fizik. Kecekapan dan dedikasi JK memastikan kelancaran setiap sesi seminar dari perancangan hingga pelaksanaan.

Tirai SPFK 2025 dilabuhkan dengan tayangan montaj, ulasan penjurian dan pengumuman Anugerah Inovasi SPFK 2025 bagi mengiktiraf kreativiti, inovasi dan dedikasi warga pendidik. Seminar ini membuktikan bahawa transformasi pendidikan Fizik memerlukan gabungan idea, teknologi, kepimpinan dan kolaborasi bersepadu demi melahirkan generasi pelajar yang kritis, celik STEM dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Penganjuran dan pengisian program ini secara langsung menyokong pelaksanaan teras BITARA 2.0 yang diperkenalkan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, selaras dengan usaha menjadikan UPSI sebagai universiti peneraju kebitaraan dalam pendidikan di Malaysia dan di peringkat tempatan dan global. Inisiatif ini menekankan pengukuhan kecemerlangan akademik, pemerkasaan inovasi ilmu berasaskan penyelidikan serta peningkatan keterlihatan dan jaringan antarabangsa universiti.
