Oleh: ‘Abdul Hadi Baharuddin

KUALA KUBU BHARU, 9 Disember 2025 – Seramai 27 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama 94 pelajar Tingkatan 4 Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu (SAMT KKB), Selangor menjayakan Program Ekspo Halalan Tayyiban yang berlangsung di sekolah berkenaan.

Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah mengenai kefahaman konsep halal dan haram dalam pemakanan melalui pendekatan interaktif dan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.

Menurut penganjur, program itu merupakan sebahagian daripada komponen kursus Fiqh Al-At’imah wa Al-Aiman wa Al-Nuzur (HIN 3013) yang diikuti pelajar semester lima sesi akademik 2025/2026 bagi mengaplikasikan ilmu fiqh pemakanan dalam konteks kehidupan seharian.

Antara pengisian utama program termasuk pameran pendidikan menerusi booth interaktif yang menumpukan aspek pengenalan logo halal, bahan ramuan syubhah, prinsip asas fiqh makanan, konsep al-jallalah serta isu pemakanan kontemporari. Pendekatan visual dan aktiviti secara hands-on membantu pelajar memahami konsep halal tayyiban dengan lebih jelas dan mudah.

Selain itu, aktiviti explorace turut dianjurkan melibatkan empat checkpoint bertemakan haiwan darat dan laut, sembelihan serta pemburuan. Aktiviti berbentuk permainan berkumpulan itu disertai 94 pelajar Tingkatan 4 dan dirangka bagi menguji pengetahuan, kemahiran berfikir serta kerjasama peserta dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.

Program berkenaan turut dilaksanakan di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti. Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan bakal pendidik berjiwa insani, berkemahiran komunikasi serta prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.