Oleh: Ainin Salsyazwina Jusoh & Muhammad Zamzini Mohd Zamani
TANJONG MALIM, 21 Disember 2025 – Seramai 30 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima bubur herba campuran sumbangan daripada Syarikat Faiza Sdn Bhd. menerusi satu program Kebajikan yang sarat dengan nilai keprihatinan, iaitu Infaq Kasih Himsak di bawah persatuan HIMSAK UPSI. Pengagihan telah dijalankan di 3 buah lokasi, iaitu Kafetaria KUO, KHAR dan KAB.

Program pengagihan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Kluster Kebajikan dan Kemasyarakatan dan Syarikat Faiza Sdn. Bhd. sebagai usaha untuk membantu mahasiswa, khususnya mereka yang memerlukan serta menyemai semangat prihatin dan solidariti dalam kalangan mahasiswa.

Menurut Mohd Azraie (Yang Dipertua HIMSAK), beliau menyatakan program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kluster Kebajikan dan Kemasyarakatan yang menyemai semangat kebersamaan. “Program ini dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama anak Kelantan di perantauan.” ujar beliau. Pengagihan sumbangan ini dilakukan secara teratur bagi memastikan semua mahasiswa berpeluang menerima sumbangan tersebut. Salah seorang mahasiswa penerima Infaq Kasih Himsak, Nurfarisha Amalia menyatakan rasa syukur dan terharu atas inisiatif berkenaan. “Sedikit sebanyak, bantuan ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan harian saya di sini.” katanya.

Barisan Majlis Tertinggi HIMSAK UPSI juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan usaha murni ini dan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai tanda sokongan, semangat kebersamaan dan ihsan terhadap kebajikan mahasiswa UPSI. Semoga langkah ini menjadi tradisi berterusan dalam memperkukuh semangat solidariti, kasih sayang dan kepedulian sesama anak-anak Kelantan di bumi Muallim.

