Oleh: Muhammad Haziq Naim

TANJUNG MALIM, 12 DISEMBER 2025– Seramai 20 pelajar lelaki Kolej Awang Had Salleh (KAHS) menyertai Usrah Fasa 3 yang dianjurkan dalam suasana luar pada waktu malam dengan pendekatan santai tetapi berfokuskan pengisian rohani. Program itu dikendalikan oleh dua pelajar daripada Kelab Al Mursyidin yang bertindak sebagai fasilitator bagi memastikan perjalanan usrah berlangsung secara tersusun dan berkesan.

Penganjuran usrah di bawah cahaya bulan dan nyalaan api unggun itu memberi kelainan kepada peserta, selain berjaya mewujudkan suasana mesra dan harmoni. Pendekatan berkenaan turut mendorong peserta lebih terbuka dalam perkongsian ilmu serta pengalaman kerohanian. Suasana malam yang nyaman, diserikan dengan aktiviti membakar ayam dan bunyi unggun api, mencipta persekitaran kondusif bagi penghayatan ilmu tanpa menjejaskan disiplin serta objektif program.

Pengisian usrah dimulakan dengan perbincangan mengenai kepentingan membetulkan niat dalam menuntut ilmu. Peserta diajak bermuhasabah dan menilai kembali tujuan pembelajaran agar usaha serta pengorbanan dilakukan bukan sekadar untuk kejayaan duniawi, sebaliknya kerana Allah sebagai satu bentuk ibadah dan amanah. Perbincangan turut menyentuh keutamaan dalam kehidupan, termasuk keperluan menyusun tanggungjawab akademik, ibadah serta peranan sebagai hamba Allah dan ahli masyarakat.

Aspek ibadah turut diberi perhatian melalui bimbingan bacaan Surah al-Fatihah yang betul merangkumi sebutan, makhraj huruf dan hukum tajwid. Peserta diingatkan tentang kepentingan memastikan kesempurnaan bacaan surah berkenaan kerana ia merupakan rukun utama dalam solat. Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap adab dalam kehidupan seharian, termasuk adab terhadap Allah, sesama manusia dan sebagai penuntut ilmu, selaras dengan prinsip bahawa ilmu tanpa adab akan menghilangkan keberkatannya.

Program diakhiri dengan bacaan Tasbih Kafarah dan Surah al-‘Asr secara berjemaah sebagai peringatan bahawa manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh serta saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Penganjur berharap penganjuran usrah ini dapat membantu membentuk suasana kolej yang harmoni serta menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian penghuni KAHS ke arah melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, rohani dan sahsiah.