Tanjung Malim, 12 Disember 2025 – Sekretariat Negeri Sembilan (SEMANIS) bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dalam usaha memperkukuh hubungan kerjasama strategik serta mempererat silaturahim antara pihak universiti dan mahasiswa Anak Negeri Sembilan di UPSI.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk membuka ruang perbincangan dan perkongsian idea tentang kebajikan, pembangunan sahsiah serta kecemerlangan akademik mahasiswa anak Negeri Sembilan yang sedang melanjutkan pengajian di UPSI. Selain itu, pertemuan ini turut menjadi platform bagi membincangkan potensi kerjasama dalam penganjuran program akademik, kepimpinan dan kemasyarakatan pada masa akan datang.
Kunjungan tersebut diwakili oleh Nor Fazlina Fahti, selaku wakil Yayasan Negeri Sembilan. SEMANIS UPSI diketuai oleh Yang Dipertua, Batrisyia Hannah Suhaimi, dengan bimbingan Penasihat, Fatin Azira Md Ab Rani.


Dalam sesi perbincangan, pihak Yayasan Negeri Sembilan menzahirkan komitmen berterusan dalam menyokong usaha memperkasa mahasiswa melalui pelbagai inisiatif bantuan pendidikan serta pembangunan modal insan.
Sementara itu, pihak JHEPA dan SEMANIS UPSI turut berkongsi peranan serta gerak kerja persatuan dalam menjaga kebajikan dan memperkukuh jati diri mahasiswa anak Negeri Sembilan di peringkat universiti.
Kunjungan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat serta kerjasama yang berimpak tinggi antara Yayasan Negeri Sembilan, JHEPA dan SEMANIS UPSI kepada mahasiswa demi pembangunan pendidikan yang lebih holistik.
