Oleh: Nur Nabilah Nazri
Batu Kawan – Program Keusahawanan Peringkat Nasional iaitu University to Community (UTC) 3.0 bagi Fasa 3: Bootcamp telah berlangsung dari 14 sehingga 17 Disember 2025 yang bertempat di The Ship Campus, Batu Kawan, Pulau Pinang.
Program ini telah mendapatkan sokongan yang memberangsangkan dengan penyertaan sebanyak 105 peserta yang terdiri daripada 84 pelajar dan 21 mentor merangkumi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Politeknik dan Government-Linked University (GLU) dari seluruh Malaysia.



Program ini mendapat kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) selaku rakan strategik serta Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dari segi sokongan latihan bagi mencapai status Akreditasi Perusahaan Sosial.
Semasa Fasa 1 – Training of Trainers (T.O.T) Induk Program UTC 3.0 pada 3 November lalu, para peserta diberikan pendedahan mengenai hala tuju dan pelaksanaan program, pengurusan serta pengisian modul latihan yang merangkumi aspek keusahawanan, pembentukan model perniagaan sosial, inovasi sosial dan persediaan pitching. Justeru, pameran BMC dari setiap institusi turut dilaksanakan pada hari terakhir Fasa 1.



Seterusnya, pengisian Fasa 3 UTC 3.0 selama empat hari kali ini melibatkan perkongsian dari pihak INSKEN dan PUNB dalam meneroka makna perusahaan sosial serta memberikan suntikan dan dorongan motivasi kepada para peserta dalam membangunkan perniagaan mereka. Sesi pitching turut diadakan bagi para peserta membentangkan perniagaan mereka dari segi penglibatan penerima manfaat, kebolehlaksanaan projek dan ketepatan model keusahawanan sosial.
Di samping itu, para peserta turut dibawa melawat ke perusahaan sosial di sekitar Pulau Pinang. Antara syarikat yang terpilih ialah Sayur Fucuk Hasdey, Puncak Bumi Utama Sdn. Bhd., Wafiy Industries Sdn. Bhd. dan Mutiara Jingga Marketing.



Pada hari terakhir, Majlis Perasmian Program UTC 3.0 telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Encik Hazlan Abdul Hamid.
Menurutnya, Program UTC 3.0 menegaskan peranan IPT bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi sebagai instrumen strategik pembangunan negara yang membina masyarakat mampan, inklusif dan berdaya tahan. Justeru, ia selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan aspirasi Malaysia MADANI, UTC 3.0 memperkasakan kolaborasi antara IPT, kerajaan, industri dan komuniti bagi melahirkan graduan yang mampu menyelesaikan masalah sosial melalui inovasi dan keusahawanan berimpak tinggi.



Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Puan Viviantie Sarjuni; Ketua Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Korporat PUNB, Encik Ahmad Nazlee Idris; Ketua Unit Pemasaran dan Pembangunan Usahawan PUNB, Puan Noorhazreen Ab Ghani; Puan Nurul Liana Irfan Ramli, Eksekutif INSKEN dan Eksekutif Kanan Unit Pemasaran dan Pembangunan Usahawan PUNB, Encik Hamimi Mohd Shamsudin.



Program ini diakhiri dengan sesi pemberian mock cheque sebanyak RM17,000 dari pihak KPT kepada semua institusi yang terlibat. Di samping itu, pihak PUNB turut memberikan dana tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap institusi.
