Pelajar berada di booth Eco Lab dan Rumah HijauPelajar berada di booth Eco Lab dan Rumah Hijau

Oleh : Muhammad Nasrul Hakim Bin Adnan @ Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Karnival Badan Pelajar yang berlangsung di Gerbang Suria, Kolej Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meriah dengan pelbagai aktiviti berunsur pendidikan dan hiburan. Antara yang mencuri tumpuan pengunjung ialah booth Eco Lab dan Rumah Hijau yang mengetengahkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Booth Eco Lab mempamerkan konsep “Reka Solusi, Kampus Lestari” melalui pameran prototaip yang bekerjasama dengan Fakulti Teknologi dan Vokasional (FTV). Booth Rumah Hijau membawa mesej kesedaran melalui kempen “Tanam Harapan, Siram Kebaikan, Tuai Kehijauan”. Pengunjung turut diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli pasukan dan mencuba aktiviti seperti Lucky Throw serta kuiz berunsur alam sekitar.

Menurut wakil penganjur, penyertaan aktif mahasiswa dan pengunjung membuktikan minat yang tinggi terhadap isu alam sekitar serta peranan generasi muda dalam memacu perubahan ke arah kampus yang lebih lestari. Kehadiran tetamu jemputan dan sokongan pelajar turut menyemarakkan suasana karnival.

Menurut beberapa pengunjung yang hadir ke booth Eco Lab dan Rumah Hijau, mereka mengakui bahawa kesedaran terhadap alam sekitar penting di dalam kampus. Booth Eco Lab dan Rumah Hijau juga berjaya menarik perhatian pengunjung. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka merupakan pelajar tahun akhir dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK). Pelajar dari FBK ini mendapat pujian dari para pengunjung kerana tidak hanya mahir dalam bidang bahasa malah turut berkebolehan dalam sains.

Secara keseluruhan, penyertaan booth Eco Lab dan Rumah Hijau bukan sahaja memeriahkan Karnival Badan Pelajar, malah berjaya menyampaikan mesej penting tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar, selaras dengan aspirasi UPSI ke arah pembangunan kampus lestari.