Oleh Nur Ilyana Ahmad Shukri dan Nursuhadah Tumin

Tanjung Malim, 2 Januari 2026 – Melalui kursus SMF3013 (Matematik Kewangan) di Universiti Pendidikan Sultan Idris, pelajar perlu melaksanakan projek SULAM. Tajuk projek “Simpanan Emas: Langkah Bijak, Pilihan Belia” telah dikendalikan oleh Nur Ilyana Ahmad Shukri, Nursuhadah Tumin dan Nur Nissa Hazliana Rosli melalui sesi podcast yang menarik. Tujuan utama projek ini adalah untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat khususnya golongan belia mengenai simpanan emas dan kepentingannya pada masa hadapan.

Bagi memastikan pelaksanaan projek ini mencapai matlamat yang ditetapkan, beberapa objektif telah digariskan. Antaranya adalah untuk mendidik komuniti tentang konsep simpanan emas sebagai alternatif pelaburan jangka panjang, mengaplikasikan konsep matematik kewangan seperti nilai masa wang, kadar faedah dan pulangan pelaburan dalam analisis simpanan emas serta meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar dan masyarakat tentang kepentingan melindungi nilai wang daripada inflasi.

Pelaksanaan projek ini melibatkan sesi podcast bersama Dr. Mohamad Saufi Rosmi, Master Dealer Public Gold. Banyak perkongsian menarik dan maklumat lanjut berkenaan simpanan emas yang diperincikan oleh Dr. Mohammad Saufi pada sesi podcast tersebut. Perbincangan dijalankan secara santai tetapi tetap berinformasi agar dapat memberi kefahaman yang mudah kepada penonton daripada golongan belia.

Dr. Mohamad Saufi turut menekankan bahawa simpanan emas merupakan satu bentuk perlindungan kewangan yang sesuai untuk jangka masa panjang, terutamanya bagi golongan belia yang baru memulakan kerjaya atau masih bergelar seorang pelajar. Menurut beliau, amalan menyimpan emas tidak semestinya bermula dengan jumlah yang besar kerana yang paling penting ialah disiplin dan konsistensi.

Selain itu, Dr. Mohamad Saufi menegaskan bahawa simpanan emas perlu dijadikan sebagai satu komitmen kewangan yang tetap dan terancang. Beliau menyarankan agar golongan belia menjadikan simpanan sebagai komitmen, bukan kerana baki perbelanjaan. Hal ini kerana sikap

menunggu lebihan wang selalunya menyebabkan simpanan diabaikan. Dengan menjadikan simpanan emas sebagai keutamaan, individu dapat membina tabiat kewangan yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Dr. Mohamad Saufi turut berkongsi pandangannya bahawa terdapat dua golongan yang tidak menyimpan emas, iaitu golongan yang tiada duit dan golongan yang tiada ilmu. Kenyataan ini menekankan kepentingan ilmu kewangan dalam kalangan belia. Menurut beliau lagi, simpanan emas boleh atasi kekangan kewangan, namun kekurangan ilmu boleh menyebabkan seseorang terus berada dalam zon selesa tanpa membuat perancangan kewangan yang bijak.

Hasil daripada projek ini, penerimaan maklum balas daripada penonton podcast dalam talian adalah sangat positif, di mana para belia menunjukkan minat yang tinggi terhadap simpanan emas. Keadaan ini jelas membuktikan bahawa golongan belia semakin sedar akan kepentingan simpanan emas sebagai langkah awal dalam perancangan kewangan. Perkongsian ini telah membuka mata golongan belia tentang peranan simpanan emas sebagai aset pelindung nilai dan instrumen simpanan yang stabil untuk jangka masa panjang.